Kastam rampas rokok seludup RM10 juta
JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyita sebuah kontena dan merampas rokok seludup dari China bernilai lebih RM10 juta selepas melakukan pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah dekat sini, 22 September lalu.
Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, menerusi pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah pada jam 11.20 pagi, mesin pengimbas telah mengesan imej meragukan dalam muatan kontena berukuran 12 meter itu.
"Kontena yang diimport dari luar negara itu dipercayai transit di Bay Pemeriksaan Kastam, PTP. Destinasi terakhir yang diikrar dalam 'manifest' adalah di Pelabuhan Kota Kinabalu.
"Semakan ke atas dokumen 'manifest' mendapati, kontena tersebut telah diikrar membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, perlatan bayi dan pemanggang BBQ elektrik.
"Pemeriksaan imbasan mendapati imej diimbas tidak sama seperti yang diikrarkan. Hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat 9.18 juta batang rokok putih dengan dua jenama dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara," katanya dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin di sini pada Ahad.
Beliau berkata, rokok itu dipercayai dari China dan kontena itu dianggarkan bernilai RM3.67 juta melibatkan duti atau cukai RM6.42 juta manakala nilai rampasan termasuk cukai lebih RM10 juta.
Sazali memberitahu, sindiket terbabit membuat pengikraran tidak benar dalam 'manifest' mereka sebelum menjadikan PTP sebagai lokasi 'transhipment' sebelum dihantar ke lokasi lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dalam manifest dan mengimport barang larangan tanpa permit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!