Tarikh PRU15 perlu sensitif kaum, perayaan

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

IPOH - Tarikh yang dicadangkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu mengambil kira sensitiviti perayaan yang disambut oleh kaum-kaum di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, PRU15 tidak sesuai diadakan pada bulan Oktober memandangkan perayaan Deepavali akan berlangsung tidak lama lagi.

Menurutnya, adalah lebih baik diadakan PRU15 sehingga tamat tempoh penggal Parlimen bersama-sama dengan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Untuk jimatkan kos, Parlimen patut dibubarkan serentak dengan DUN iaitu akhir penggal. Kalau di akhir penggal, semua terpaksa bubar, tak perlu tanya siapa pun. Tak payah berunding pun sebab kita tinggal beberapa bulan sahaja.

"Mengapa kita tak tunggu sampai habis penggal sebab sekarang ini musim tengkujuh. Kalau dia buat pada bulan ini, dia juga tak hormat kepada kaum India," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak Kali ke-21 di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Pada 30 September, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencapai ketetapan bahawa pembubaran Parlimen perlu dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertua Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!