Harrif terlepas tempat pertama di Taiwan

Harrif terpaksa berpuas hati di tempat kedua perlumbaan Peringkat 1 Tour de Taiwan 2022. Foto TSG.
Harrif terpaksa berpuas hati di tempat kedua perlumbaan Peringkat 1 Tour de Taiwan 2022. Foto TSG.
A
A
A

HASRAT Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh untuk menamatkan perlumbaan Peringkat 1 Tour de Taiwan 2022 di kedudukan pertama tidak kesampaian.

Pada aksi yang berlangsung di Taipei City itu pelumba berusia 34 tahun itu terpaksa akur dengan kekuatan pelumba dari pasukan Aisan Racing Team, Hayato Okamoto dalam perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai itu dengan catatan 1 jam 44 minit dan 46 saat.

Pelumba 7 Eleven Cliqq-Air21 by Road Bike Philippines, Marcelo Felipe pula berada di tempat ketiga manakala Warut Paekrathok dari pasukan kebangsaan Thailand menjadi yang keempat tiba di garisan penamat.

Bagi Harrif, dia mengakui terpaksa berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam perlumbaan kali ini memandangkan sudah lama tidak beraksi.

“Perlumbaan hari ini memang sangat sukar. Disebabkan saya dah lama tak sertai perlumbaan jadi memang rasa agak sukar sikit.

“Tapi alhamdulillah, rakan sepasukan banyak membantu hari ini. Tapi boleh kata kaki saya masih terasa berat lagi dan insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk TSG,” kata Hariff dalam satu hantaran video, hari ini.

Peringkat 2 saingan akan diteruskan di Taouyan City Hall hingga ke Jiaobanshan yang membabitkan jarak 120.6km manakala peringkat 3 pula menyaksikan laluan dari HSR Hsinchu Station ke Shigang sejauh 156.5km sebelum Peringkat 4 di Kaohsiung City.

Seterusnya, peringkat 5 yang juga kemuncak saingan akan berlangsung di Dapeng bay pada Khamis ini dengan jarak sejauh 149.8km.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!