Fasa mobilisasi LCS tunjuk perkembangan positif

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fasa mobilisasi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama enam bulan bermula Jun lepas menunjukkan perkembangan positif dan berjalan lancar selari dengan syor oleh beberapa pihak berkepentingan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, banyak perkara telah dilaksanakan dan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan pertama fasa tersebut terutama dari sudut komersial dan antara kerajaan dengan kerajaan.

Beliau berkata, hasil rundingan yang dibuat dengan 145 vendor tempatan dan 42 pengilang peralatan asli (OEM) luar negara, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) selaku syarikat pembuat telah menerima aku janji terutamanya melibatkan peralatan serta sistem untuk menyokong BNSSB meneruskan projek LCS.

"Proses penamatan syarikat Contraves Advanced Devices (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) selaku orang tengah juga sedang giat dilakukan bagi membolehkan BNSSB berunding secara terus dengan OEM dan vendor.

"Langkah ini akan dapat mengurangkan kos peralatan kapal yang perlu dibayar kepada vendor dan OEM memandangkan tiada lagi penglibatan pihak pengantara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, bagi tujuan penstrukturan semula hutang, BNSSB juga giat berunding dengan sembilan institusi perbankan dan ia dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh mobilisasi itu.

Selain itu, beliau berkata, BNSSB juga sedang berunding dengan Naval Group dari Perancis mengenai reka bentuk terperinci, yang memutuskan akan menghantar pasukan teknikalnya untuk melakukan audit terhadap reka bentuk terperinci kapal itu pada bulan ini.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata wakil Kerajaan Perancis juga telah bertemu dengannya dan menyerahkan komitmen bertulis menyatakan projek LCS turut menjadi keutamaan negara itu sekali gus akan meneruskan serta menyelesaikan projek berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini perkembangan yang mustahak dan amat membantu memandangkan Naval Group dimiliki Kerajaan Perancis," katanya.

Hishammuddin berkata, pembinaan LCS juga hanya akan disambung semula sebaik sahaja semua rundingan selesai dan setiap perjanjian dimuktamadkan dalam fasa mobilisasi yang akan berakhir Disember nanti dan beliau telah menegaskan sekurang-kurangnya sebuah LCS perlu siap sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini.

"Tempoh ini realistik memandangkan apabila fasa mobilisasi ini selesai, semua pihak terlibat mempunyai 14 bulan untuk memastikan kapal siap dibina dan berada di permukaan air sebelum menjalani latihan seperti ‘Harbour Acceptance Test’ dan ‘Sea Acceptance Trial’," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan sementara menunggu LCS siap sepenuhnya, TLDM telah memohon perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) kumpulan kedua yang dilengkapi persenjataan yang lebih menyeluruh dan perkara itu telah dibawa ke Unit Perancang Ekonomi oleh kementeriannya.

"Semua pihak tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya sedang berusaha bertungkus-lumus demi memastikan TLDM dapat memiliki aset yang diperlukan ini.

"Pada masa sama, kementerian saya juga akan terus memberi kerjasama penuh kepada apa jua siasatan yang sedang dilaksanakan badan-badan berkuasa ketika ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!