'Suresh sempat datang ke rumah, bertanya khabar'
SERDANG - "Pemergian mendiang amat dirasai, dia seorang ayah dan lelaki yang baik" itu kata S Sathiaseelan, 43, abang ipar kepada pemandu bas, S Suresh, 43, yang maut dalam kemalangan di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam tadi.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian tersebut kira-kira jam 1.30 pagi selepas dihubungi pihak syarikat bas.
"Kejadian ini amat mengejutkan kami sekeluarga. Sebelum kejadian mendiang ada datang ke rumah di Desa Cempaka, Nilai kira-kira jam 8.30 malam untuk bertanya khabar dan berbual kosong.
"Kami tinggal dalam kawasan perumahan sama. Memang hampir setiap malam tiga anak Suresh berusia antara 8 hingga 12 tahun dihantar ke rumah saya untuk belajar.
“Dia tak ada tunjukkan apa-apa perubahan. Dia cuma beritahu nak pergi kerja sebelum beredar,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, di sini.
Sathiaseelan berkata, dia difahamkan mendiang telah bekerja dengan syarikat bas berkenaan lebih dari 10 tahun.
Tambahnya, mayat mendiang akan dihantar ke Nilai, Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.
"Mendiang meninggalkan seorang isteri berusia 42 tahun dan tiga orang anak terdiri daripada seorang perempuan berusia 12 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia 9 dan 8 tahun," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam tadi, bas membawa 43 pekerja kontrak MAS Kargo hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter, di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, KLIA, Sepang.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tiada kesan brek di lokasi kejadian: Polis
Polis siasat pemandu ikut laluan berbeza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!