UMNO bukan parti 'cap ayam', buat PRU ikut Perlembagaan
SHAH ALAM - Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO bukan parti politik 'cap ayam' kerana setiap tindakan dibuat parti itu termasuk keputusan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah sentiasa berpandukan peraturan dan Perlembagaan Negara.
Menurutnya, UMNO telah menjadi sasaran amarah pembangkang yang kini diselubungi kebimbangan untuk berdepan hari penentuan rakyat.
"Bertambah `panas' kerana Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Ketakutan, kegelisahan, kebimbangan, kerunsingan, keresahan sedang menyelubungi mereka untuk berdepan hari penentuan rakyat. Justeru, UMNO menjadi sasaran amarah mereka ditohmah angkuh, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan derhaka.
"Apakah ayat akan `mempersembahkan' kepada Yang Di-Pertuan Agong boleh dianggap sebagai suatu penderhakaan? Apakah ayat akan `mempersembahkan' tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta membelakangkan Yang Di-Pertuan Agong?," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahmad Zahid juga mahu pembangkang menghentikan memperdayakan fikiran rakyat.
"Pihak manakah yang berusaha menandatangani Statut Rom dan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang boleh menjejaskan kuasa Raja-Raja Melayu?
"Pihak manakah yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan derhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong dalam isu Ordinan Darurat? Itu secebis daripada banyak agenda lawan BN yang menderhaka serta cuba mengubah nilai dan asas negara demi kepentingan politik mereka," katanya.
Media melaporkan DAP menyelar keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan PRU15 tahun ini yang disifatkan sebagai angkuh dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, selain membelakangkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, berdasarkan kenyataan dibuat UMNO, pembubaran Parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihan raya diadakan tahun ini juga seolah-olah satu prasyarat ditetapkan oleh MKT UMNO terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Anthony, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kenyataan terbuka berkenaan pembubaran Parlimen dikeluarkan sebelum Perdana Menteri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!