UMNO sengaja main sentimen perkauman: Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

GEORGETOWN - UMNO didakwa sengaja menggunakan isu siasatan ke atas buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membangkitkan sentimen perkauman supaya orang Melayu menyokong mereka.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan oleh UMNO kerana isu tersebut telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Isu ini sudah diambil tindakan dan sedang melalui proses undang-undang malah kes sedang berjalan. Saya pelik kenapa UMNO buat bising. Pemuda UMNO telah menggunakan isu ini sebagai isu perkauman.

"Sebab dia (UMNO) ingat mengapi-apikan isu perkauman terhadap Tommy Thomas, terhadap Pakatan Harapan (PH) itu akan memberikan sokongan orang Melayu kepada mereka," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi townhall di Auditorium A Komtar di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Pemuda Barisan Nasional (BN) mempersoalkan tindakan pimpinan PH yang hanya berdiam diri berhubung hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan Tommy Thomas.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu menimbulkan persoalan sedangkan pimpinan pembangkang mendakwa merekalah yang paling mendaulatkan undang-undang.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas bekas Peguam Negara itu berhubung kandungan yang ditulis dalam bukunya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, pihaknya hanya akan bersuara apabila terdapat isu membabitkan penyelewengan yang tidak diambil tindakan seperti isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS).

Artikel Berkaitan:

"Sama kes macam Lim Guan Eng, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semua ini telah melalui proses (undang-undang).

"Kecuali ada kes yang jelas penyelewengan berlaku tetapi tindakan tidak diambil, sebagai contoh skandal kapal, barulah kami bersuara," katanya.

Dalam pada itu, katanya, UMNO melakukan kesilapan besar apabila memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu.

"Adalah menjadi satu kesilapan apabila mereka menggunakan sentimen perkauman. Ini kerana, kita tahu bahawa fokus pengundi termasuk pengundi Melayu ialah soal kehidupan seharian, siapa yang boleh bantu kos sara hidup, parti mana letak calon lebih banyak akal dan calon yang lebih lebih baik.

"Kita akan fokus itu dulu, mana yang telah diuruskan oleh proses undang-undang akan diuruskan oleh proses undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!