PM menghadap Agong atas nasihat jemaah menteri bukan UMNO
SHAH ALAM – Bagi pembubaran Parlimen, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat jemaah Kabinet.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di mana jemaah menteri boleh menasihatkan Perdana Menteri untuk tujuan itu.
"Perlembagaan dengan jelas menyatakan yang menasihat Yang di-Pertuan Agong adalah jemaah menteri. Perdana Menteri pergi menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan mandat oleh jemaah menteri bukan mandat Presiden UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Persidangan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor di sebuah resort di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor berkata, gabungan PN sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sekiranya PRU15 diadakan esok, PN sudah bersedia. Kita mahu situasi itu diberikan pertimbangan atas situasi semasa. Jangan kamu tersedak kerana arahan kleptokrat,” kata beliau lagi.
Pembubaran Parlimen semakin hangat diperkatakan apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu sepakat memutuskan pembubaran Parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini juga.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di mana Ismail Sabri selaku Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh PRU15 kepada Yang di-Pertuan Agong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!