Pemulihan MN perlu kembali berpandukan prinsip piagam asal

A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang usaha memulihkan Muafakat Nasional (MN) atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama perlu kembali berpandukan prinsip piagam asal sebagaimana yang pernah disepakati bersama Pas.

Menurutnya, UMNO hakikatnya tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.

"Sebab itulah sejak dari awal UMNO sentiasa menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua bentuk permuafakatan.

"Namun, UMNO tidak sesekali dapat menerima mereka yang berterusan melakukan pengkhianatan dan mengambil sikap dengan menjadikan BN sebagai musuh utama mereka.

"Sehubungan dengan ini juga, apa juga aspek yang bersangkutan dengan isu ini haruslah dirujuk kepada kenyataan yang keluar melalui saluran rasmi saya mahupun parti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Muafakat Nasional yang dimeterai oleh UMNO dan Pas perlu kembali berpandukan prinsip piagam asal.
Muafakat Nasional yang dimeterai oleh UMNO dan Pas perlu kembali berpandukan prinsip piagam asal.

Beliau dalam kenyataan sama mengesahkan telah berlangsung pertemuan empat mata bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu yang turut membincangkan mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika.

"Semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara UMNO-Pas pada waktu itu berpaksikan kepada keinsafan betapa perlunya dua Parti Induk Bumiputera Melayu-Islam terlebih dahulu diperkasakan bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah dalam erti kata sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Penyatuan yang berteraskan keindukan Bumiputera Melayu Islam ini adalah kunci keharmonian dalam kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!