Kenyataan Zahid beri harapan baharu buat Muafakat Nasional

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa -Foto Bernama
Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, menyifatkan kenyataan terbaharu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan pemulihan Muafakat Nasional (MN) membawa sinar dan harapan baharu.

Menurutnya, perkara itu perlu disambut baik oleh semua pihak terutamanya UMNO, BN dan Pas.

"Syukur Alhamdulillah. Kenyataan Media rasmi Presiden UMNO membawa sinar dan harapan baru,dan seharusnya disambut baik oleh semua pihak,terutama UMNO/BN dan Pas.

"Roh dan semangat Nota Persefahaman dan Piagam MN perlu disemarakkan semula,di saat perhitungan besar PRU15 kini benar benar hampir tiba,"katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah beliau, UMNO dan Pas adalah dua parti teras dan tunjang yang membina negara bangsa dan cita cita perjuangan kedua-dua parti lahir dari 'rahim dan kandungan' politik yang sama.

Ujarnya, kini adalah masa untuk negara dan rakyat perlu dibela sepenuhnya dan permuafakatan UMNO-Pas mampu memperkasa perjuangan dan menyelamatkan watan dan ummah.

"Negara amat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat,politik yang stabil,serta saf kepimpinan yang cukup pengalaman dan kebolehan kerana kita bakal berdepan cabaran global yang amat besar mulai 2023.

"Negara perlu dipulihkan,dan dengan ekonomi dunia dan geo politik serantau yang semakin kompleks,kita tidak mampu berpecah belah dan kembali menjadi lemah,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat Piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati bersama Pas.

Menurutnya, UMNO hakikatnya tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!