Wanita mahu pemimpin berkredibiliti

Dari kiri: Jasmin, Mayura, Daisy Rita dan Selina Lim
Dari kiri: Jasmin, Mayura, Daisy Rita dan Selina Lim
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Malaysia berkongsikan harapan mereka untuk melihat kehadiran calon pemimpin yang boleh dipercayai, berkredibiliti dan lebih dekat dengan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi termasuk rasuah.

Usahawan digital dari Kuala Lumpur, Jasmin Amirul Ghani, 49, berkata, selain daripada menampilkan calon kepimpinan yang menggabungkan antara orang muda dan tua, penglibatan kepimpinan wanita berkaliber juga perlu ditingkatkan pada PRU akan datang.

“Kita boleh lihat bagaimana peranan dimainkan beberapa menteri wanita dalam kerajaan sebelum ini yang berjaya menerajui kementerian masing-masing dengan cara yang sangat hebat.

“Jadi ia sebenarnya adalah mengenai sejauh mana seseorang ahli politik boleh membuat perubahan dalam meningkatkan apa yang kita ada, sejauh mana mereka boleh memperjuangkan apa yang betul,” katanya kepada The Star.

Pereka dalaman dari Kuala Lumpur, Selina Lim, 54, berkata, calon ahli Parlimen perlulah seorang yang mudah untuk didekati supaya mereka boleh mendengar masalah dihadapi rakyat dan seterusnya memutuskan jalan terbaik bagi penyelesaian.

“Ahli politik perlu memberi tumpuan kepada isu penting, berkhidmat kepada rakyat dan tidak terpesong oleh isu yang tidak penting dan tidak memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Juruaudit dari Kuala Lumpur, Mayura Chanthrasuwan, 36, pula berkata, kerajaan baharu bakal dibentuk perlu memenuhi keperluan rakyat tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit dan fahaman politik.

Tegasnya, pemimpin bakal dilantik nanti juga perlu mengambil kira kepentingan untuk memerangi rasuah yang sudah menjadi ‘penyakit’ di dalam negara.

Sementara itu, Daisy Rita Savarimuthu, 63, dari Petaling Jaya berharap agar pemimpin yang bakal dipilih dapat bekerjasama dengan rakyat untuk menangani masalah terutamanya isu ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“PRU15 akan memberi peluang terbaik untuk melakukan perubahan ini dengan memilih calon yang layak tanpa mengira parti.

“Impian saya adalah untuk mempunyai kerajaan yang boleh membina semula sebuah negara dan bersinar semula di arena global,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!