Malaysia ambil iktibar insiden Stadium Kanjuruhan
MALAYSIA perlu mengambil iktibar insiden rusuhan antara penyokong bola sepak Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia yang mengorbankan lebih 100 orang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejadian malang yang berlaku di negara jiran itu disifatkan sebagai sesuatu yang mengecewakan.
Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja diharap tidak berlaku di Malaysia malah di mana-mana negara sekalipun.
"Kita ucapkan takziah kepada kerajaan Indonesia dan seluruh rakyat mereka. Kita mendoakan agar mereka yang telah terkorban diampuni segala dosa mereka.
"Kita akan berhubung dengan rakan sejawatan di sana dan jika ada apa-apa perkara yang kita boleh bantu, tentunya kita akan sentiasa sedia dan menghulurkan bantuan kepada mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU15 Pas Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada malam Ahad.
Hadir sama pada majlis itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Pada malam Sabtu, arena bola sepak Indonesia dicemari dengan insiden hitam susulan kejadian rusuhan penonton dan penyokong di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur.
Media melaporkan kejadian tercetus selepas penyokong pasukan Arema FC tidak berpuas hati dengan kekalahan 2-3 ke atas pasukan Persebaya Surabaya, mengakibatkan ribuan penyokong meluru masuk ke kawasan padang.
Situasi tersebut membawa kepada tindakan polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut.
Ribuan penonton kemudian bersesak untuk keluar dari stadium dan sesak nafas akibat semburan gas pemedih mata, malah pihak berkuasa melaporkan mangsa yang terkorban antaranya akibat berhimpit, bersesak dan dipijak.
Susulan kejadian itu juga, seluruh komuniti bola sepak dunia menzahirkan rasa simpati terhadap insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!