Bidoglio akui pening pilih pemain
SETELAH melakar sejarah mencatatkan 'triple hattrick' dengan menjuarai Liga Super sembilan kali berturut-turut, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui pening kepala bagi memuktamadkan kesebelasan utama skuad Harimau Selatan pada aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Selasa.
Menurut Bidoglio, kesemua pemain dilihat bersemangat selain turut bekerja keras pada sesi latihan menjelang aksi berdepan skuad Kenari itu, sehingga menyukarkannya untuk membuat pilihan pemain menjelang pertemuan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, senario itu dilihat positif dan membuktikan kesemua pemain telah bersedia bagi mengharungi perlawanan berkenaan termasuk baki lima perlawanan bagi saingan Liga Super musim ini.
“Kita akan berdepan KDA FC di Alor Setar, Selasa ini dan ia memang sesuatu yang sukar bagi kita memilih pemain yang bakal beraksi dalam kesebelasan utama.
“Kesemua mereka (pemain) dilihat telah bersedia dan bekerja keras untuk berada pada kondisi terbaik bagi mengharungi perlawanan itu,” katanya menjelang pertemuan berkenaan.
Untuk rekod, aksi KDA FC dan JDT yang sepatutnya berlangsung 19 Jun lalu telah dipinda ke tarikh baharu susulan permohonan daripada skuad Kenari pada 12 Mei lalu agar mereka mempunyai lebih masa melakukan persiapan bagi mengharungi saingan Piala AFC 2022 berdepan Bali United di Denpasar Bali, Indonesia.
Permohonan KDA FC itu turut menerima maklum balas positif daripada JDT yang menyokong pindaan jadual perlawanan.
Kedua-dua kelab itu kemudiannya akan berdepan sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Oktober.
Sementara itu, penyerang berbisa JDT, Bergson da Silva mahu memastikan skuad Harimau Selatan itu membawa pulang tiga mata berharga dari Alor Setar.
Justeru, pemain yang telah menjaringkan 24 gol setakat ini dan dilihat bakal memenangi anugerah kasut emas itu berharap agar kesemua pemain bersedia secukupnya bagi berdepan skuad Hijau Kuning itu.
“Ia sentiasa sukar untuk beraksi berdepan KDA FC...mereka memiliki pemain dan jurulatih yang bagus namun dalam masa sama, kita juga perlu memastikan kemenangan.
“Oleh itu, walaupun baru sahaja menjulang trofi Liga Super kami tiada masa bagi meraikannya kerana pemain perlu berehat secukupnya menjelang aksi berdepan KDA FC,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!