Empat peniaga dikompaun gagal pamer tanda harga

Penguatkuasa KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan terhadap gerai yang beroperasi di tapak jualan berkenaan pada Ahad. - Foto KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP sedang melakukan pemeriksaan terhadap gerai yang beroperasi di tapak jualan berkenaan pada Ahad. - Foto KPDNHEP
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat premis jualan makanan dikompaun RM1,200 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, pada Ahad kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barang jualan mereka.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Terengganu, Nor Azmi Lamisza berkata, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan mengejut ke atas gerai yang menjalankan operasi perniagaan di Karnival Siam Festival Kuala Terengganu 2022, di sini.

"Empat premis jualan makanan yang diperiksa didapati masih gagal mempamerkan tanda harga pada barangan dijual dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 2 (1) Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

"Tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah diambil dan kompaun keseluruhan RM1,200 telah dikeluarkan ke atas empat premis gerai tersebut di atas kegagalan untuk mematuhi akta yang dikuatkuasakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Nor Azmi, sebelum ini, beberapa anggota penguatkuasa KPDNHEP telah hadir ke lokasi sama dan menasihatkan peniaga agar meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka namun masih ada yang gagal berbuat demikian.

"Peniaga perlu sentiasa mematuhi arahan yang dikuatkuasakan dan mempamerkan tanda harga pada barangan diniagakan supaya tidak berlaku kekeliruan terhadap pengguna yang mahu mendapatkan barangan di gerai-gerai mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Azmi turut meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap hak sebagai seorang pengguna sebelum membuat sesuatu pembelian supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah.

Pengguna boleh membuat pilihan untuk tidak membeli sekiranya didapati sesuatu barangan itu ditawarkan pada harga yang tinggi atau tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya pembelian tetap dibuat, tindakan ini sebenarnya mendorong peniaga yang tidak beretika untuk terus mengambil keuntungan tinggi melalui jualan mereka dan amalan ini akan berterusan.

"KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!