Pekerja kilang pengsan hidu gas bocor

Kebocoran gas berbahaya berlaku di sebuah kilang di Jalan Kuala Kedah pada Isnin.
Kebocoran gas berbahaya berlaku di sebuah kilang di Jalan Kuala Kedah pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pekerja ditemui pengsan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dipercayai terhidu gas ammonia bocor di sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah di sini pada Isnin.

Ketua Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, lelaki berusia 40-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 7.06 pagi.

Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal dan dilaporkan mulai sedar seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini menggunakan ambulans Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Kuala Kedah.

"Sebelum itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Kedah menerima satu panggilan kes kebocoran gas di sebuah kilang melalui talian MERS 999 pada jam 6.18 pagi.

"Sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja digerakkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zamani berkata, setibanya di lokasi Komander Operasi (KO), Penguasa Bomba Mohd Syam Kamaruddin membuat pemantauan dan mendapati terdapat bau gas yang dipercayai gas ammonia yang sangat kuat di lokasi.

Anggota bomba melakukan pemeriksaan dan menutup injap bocor di sebuah kilang di Jalan Kuala Kedah pada Isnin.
Anggota bomba melakukan pemeriksaan dan menutup injap bocor di sebuah kilang di Jalan Kuala Kedah pada Isnin.

"Anggota diarahkan memakai alat pernafasan dan membuka satu aliran hos serta membuat teknik ‘water curtain’ bagi menghampiri kawasan kilang dan mencari pasti punca kebocoran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, komander operasi melaporkan telah menemui seorang lelaki dianggarkan berusia 40-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Seterusnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian dan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dipanggil ke lokasi kejadian," katanya.

Zamani memberitahu, PKO kemudiannya berjaya menemui injap gas yang bocor dan menutup injap tersebut.

Katanya, pasukan Hazmat turut membuat pemantauan dan melakukan pengesanan gas ammonia bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat.

"Operasi tamat pada jam 10.19 pagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!