Pecat, gantung keahlian UMNO keputusan bersama: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama.
Ahmad Zahid - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan UMNO memecat dan menggantungkan keahlian ahlinya dibuat secara kolektif dan musyawarah demi kepentingan parti.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang anasir yang boleh memecah belah atau mengganggu-gugat parti perlu ditangani sebaik mungkin.

“Begitu juga terhadap anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan UMNO.

“Jika institusi ini dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan, tentunya akan merosakkan keharmonian,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, mana-mana badan politik lain juga akan melakukan tindakan sama bagi memastikan insititusi kepimpinan parti kekal terjaga dan dihormati.

Seperti saya katakan kini bukan masa untuk menoleh. UMNO telah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini.

“Apa yang telah berlaku suatu penegasan oleh parti bahawa UMNO tidak pernah tentang individu. UMNO adalah mengenai rakyat dan negara,” ujarnya.

Tambahnya, ketika ini, gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 menjadi fokus utama parti sehingga tiba tarikh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Menjelang PRU15, kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan UMNO bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan,” menurutnya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat memutuskan memecat keahlian Ketua Umno Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan yang juga blogger, Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada parti berkuat kuasa serta-merta, mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9.

Tindakan itu yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, diambil selepas ketua Umno cawangan itu didapati melanggar Etika Ahli di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Selain itu Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut digantung keahlian parti selama enam tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!