Imigresen tahan 15 wanita warga Vietnam
IPOH - Seramai 15 wanita warga Vietnam berusia dalam lingkungan 19 hingga 32 tahun ditahan dalam Ops Bersepadu di sebuah pusat karaoke di Seri Manjung, kelmarin.
Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, ketika serbuan, kesemua wanita yang disyaki bekerja sebagai pelayan itu sedang asyik melayan pelanggan tempatan di bilik pusat karaoke berkenaan.
Bagaimanapun menurut Kamalludin, apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada antara wanita berkenaan yang cedera ketika cuba melarikan diri melalui pintu belakang.
"Kecekapan pegawai operasi bagaimanapun telah berjaya menangkis cubaan meloloskan diri wanita-wanita berkenaan.
"Ada antara wanita-wanita berkenaan cedera di lutut dipercayai akibat terjatuh ketika cubaan melarikan diri itu dan menyebabkan mereka terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Tambah Kamalludin, pusat karaoke berkenaan disyaki menawarkan khidmat menemani pelanggan untuk dibawa keluar bagi tujuan khidmat seks dengan kadar bayaran dari RM500 hingga RM600.
Sementara itu, Kamalludin berkata, hasil siasatan mendapati kesemua wanita berkenaan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
"Kesemua mereka (wanita) ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!