Bajet 2023: MOM utamakan dana menuju Paris 2024

Nazifuddin.- Foto Facebook Nazif Najib
Nazifuddin.- Foto Facebook Nazif Najib
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) berharap kerajaan dapat memperuntukkan dana lebih besar buat pembangunan atlet yang akan menggalas cabaran negara di temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib berkata, penetapan bajet khusus 'Road to Paris' amat penting kerana temasya empat tahun sekali itu hanya berbaki kurang dua tahun.

"Saya harap mereka (kerajaan) buat bajet yang cukup untuk semua sukan yang kita sasar ada harapan dan selalu sertai seperti badminton, terjun dan berbasikal dalam Olimpik supaya mereka boleh dapatkan mata yang cukup untuk kelayakan Olimpik.

"(Kelayakan atlet) yang sebenarnya memerlukan bajet yang paling besar dan yang lain kita tahu tengah buat persiapan untuk tahun hadapan Sukan SEA Kemboja (5-17 Mei) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September), itu pun bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai harapan MOM terhadap Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada Jumaat ini (7 Oktober).

Belanjawan 2022 menyaksikan keseluruhan industri sukan negara menerima RM244 juta.

Ia berkurangan lebih RM50 juta berbanding sebelum pandemik Covid-19, dengan belanjawan 2020 memperuntukkan RM299 juta untuk sektor itu.

Mohd Nazifuddin percaya sekiranya mampu memperoleh bajet yang mencukupi, sudah semestinya pencapaian Malaysia dalam temasya sukan itu dapat dipertingkatkan sekali gus mencerahkan misi meraih pingat emas Olimpik pertama negara.

Artikel Berkaitan:

Kalau bajet lebih tinggi, tentu peluang pencapaian juga tinggi. Saya rasa pencapaian emas dari sukan yang kita harapkan seperti badminton, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sendiri akan memberi tumpuan yang penuh, dia sebagai ketua Road to Paris.

"Kita juga nak lihat penyertaan breakdancing contohnya atlet Lego Sam sebagai pemenang emas Sukan SEA edisi 2019 yang mungkin boleh menyertai Olimpik breakdance sebagai first dancer history dalam Malaysia, benda macam ini perlu bajet untuk penyertaan dapat mata dan buat pertandingan untuk negara," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berharap pengagihan dana yang lebih besar buat badan induk sukan karate berkenaan kerana Malaysia sudah berada dalam fasa endemik Covid-19.

Beliau berkata, sekiranya Makaf diberi dana yang sepatutnya sudah pasti badan induk itu mampu memperhebatkan lagi pembangunan sukan tersebut melalui penganjuran pertandingan di peringkat domestik bagi melahirkan barisan jaguh baharu sukan itu.

"Tahun lepas (bajet 2022) mungkin kekangan dari Covid-19 kami tidak dapat buat persiapan semua ini termasuk persatuan yang lain. Namun, menerusi bajet 2023 kami kena menyertai sekurang-kurangnya lapan ke sembilan kejohanan selain di Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia China sebab ada sasaran satu pingat emas.

"Pemilihan atlet Sukan SEA juga akan diadakan kemungkinan hujung bulan 12 (tahun ini) atau bulan Januari tahun depan di Melaka. Kami tidak ambil berdasarkan Sukan Malaysia (Sukma) namun mereka akan dipanggil bersama atlet pasukan kami sekarang dan yang terbaik akan terpilih untuk sertai temasya itu," katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi Vietnam Mei lepas, skuad karate negara beraksi cemerlang apabila membawa pulang empat pingat emas menerusi acara kumite dan enam gangsa iaitu tiga daripada acara kumie dan tiga acara kata.

Setakat ini, seramai 15 atlet karate kebangsaan berada di bawah Program Podium kendalian MSN. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!