'Kenapa tidak tanya DAP?' -Ravi
SEREMBAN - "Kenapa fokus pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR saja, kenapa tidak tanya dengan DAP?".
Demikian respon ADUN Sri Tanjung, Datuk M Ravi apabila ditanya berhubung dakwaan Presiden pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengenai dua ADUN di Negeri Sembilan yang dikatakan dalam proses untuk menyertai parti itu.
Menurut Timbalan Speaker Negeri Sembilan itu, meskipun beliau dan dua lagi ADUN PKR ada menyatakan ketidakpuasan hati soal pelantikan barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan baru-baru ini, namun itu tidak bermakna mereka yang akan menyertai PBM.
"Sesiapa pun boleh kata orang ini masuk sana dan masuk sini, seingat saya sebelum ini pun pernah timbul isu begitu, tapi ia tidak berlaku pun.
"Memang betul saya kecewa dengan kepimpinan PKR Negeri Sembilan, tapi itu isu dalaman parti dan kalau betul saya nak lompat parti lain, sudah lama saya buat begitu. Bukannya beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15(PRU15)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, jika beliau dilihat duduk bersama dengan Zuraida atau sesiapa sahaja pemimpin dari parti lain, itu juga bukan bermaksud beliau mahu menyertai parti lain.
Ujarnya, hatinya tetap bersama dengan PKR.
Begitu juga dengan ADUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching yang berpendapat tidak semestinya ia datang daripada ADUN PKR, kemungkinan juga dari DAP atau UMNO.
Ini kerana katanya, bukan semua ADUN berpuas hati dengan sesuatu keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti mereka.
"Tapi saya memang tak tahu siapa ADUN yang dimaksudkan Zuraida dan terus terang ketika dia bersama PKR pun saya tidak berapa kenal dengannya kerana saya bukannya 'kem' Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Sekarang ini memang ada khabar angin yang orang kata saya yang akan masuk parti lain, tapi itu semua fitnah," ujarnya.
Jelasnya, soal beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan PKR negeri, itu adalah masalah dalaman parti.
Bagaimana pun beliau mengakui, terdapat pihak yang cuba mendekati dirinya dan meminta untuk melompat keluar dari PKR.
"Saya dipilih sebagai ADUN atas lambang PKR dan saya tak fikir untuk buat keputusan yang boleh mengkhianati kepercayaan rakyat kepada saya," tegas beliau.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Zuraida pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PBM 2022 mengumumkan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar menyertai parti itu.
"Penyertaan mereka menjadikan setakat ini ada enam ahli Parlimen dari PBM.
"Selain itu, dua lagi ADUN di Negeri Sembilan juga sedang dalam proses untuk menyertai PBM kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!