Semangat Azizulhasni buru emas Olimpik Paris masih membara

Azizulhasni yang berehat selama lima bulan selepas menjalani pembedahan jantung mahu memulakan semula latihan dalam misi memburu emas Olimpik Paris 2024. - Foto Agensi
Azizulhasni yang berehat selama lima bulan selepas menjalani pembedahan jantung mahu memulakan semula latihan dalam misi memburu emas Olimpik Paris 2024. - Foto Agensi
A
A
A

SETELAH lima bulan berehat selepas menjalani pembedahan jantung, impian jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024 masih menyala.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, meskipun perlu 'memulakan semula' segalanya selepas menghadapi masalah kesihatan, perkara tersebut tidak melunturkan semangatnya untuk bertekad naik ke podium dengan kilauan emas di pentas berprestij itu.

"Ramai orang tanya, masih nak lalui semua sekali lagi ke, jawapan saya semestinya nak. Malah mak dan isteri pun dah cakap untuk berhenti tapi saya ada penetapan minda. Saya nak buktikan pada diri, tiada yang mustahil.

"Dapat tak dapat (emas) di Paris itu cerita yang berbeza, ia tentang kita cuba dan usaha, harap apa yang saya buat dapat memberi inspirasi anak muda dan generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas diperkenalkan sebagai Duta Gardenia pada majlis pelancaran penjenamaan semula Gardenia Breakthru di Petaling Jaya, pada Isnin.

Atlet berusia 34 tahun itu berkata, beliau sebelum ini telah berbincang dengan ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan, John Beasly untuk menyertai beberapa perlumbaan pada Disember ini sebagai pemanas badan sebelum ke Paris.

Atlet yang dikenali The Pocket Rocketman pada masa sama turut menyasarkan kilauan pingat pada temasya Sukan Asia terakhirnya di Hangzhou tahun depan.

Saya mengambil langkah satu persatu, tak nak terburu-buru. Masa mula-mula berlatih memang nak push tapi saya dengar nasihat doktor kena jaga kesihatan sebab sasaran saya untuk Olimpik lagi dua tahun dan tak perlu terburu-buru.

"Tak pasti berapa lama boleh kembali berlatih seperti biasa, sekarang saya buat latihan asas sahaja untuk Disember nanti. Untuk capai prestasi terbaik ialah menjelang Sukan Asia. Itu sasaran saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni berkata, beliau akan terus berpangkalan di Melbourne, Australia untuk menjalani latihan persediaan, sebelum kembali bersama pasukan nasional pada Januari ini.

Dalam pada itu, mengenai pelantikannya sebagai Duta Gardenia, Azizulhasni berkata, beliau dipilih untuk memberi inspirasi kepada masyarakat supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan bernutrisi.

"Dalam masyarakat kita ini, sangat penting untuk ada satu ikon dan contoh untuk orang ramai tentang satu budaya yang sihat, seperti pemakanan yang sihat jadi kita boleh mula dengan Gardenia Breakthru ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!