[VIDEO] Azi menangis pulang ke pangkuan keluarga
Azi (kiri) memeluk ibunya ketika tiba di rumah mentuanya di Kelochor, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A
KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Ejen jualan barangan kosmetik yang berjaya diselamatkan selepas menjadi mangsa penculikan mengalami tekanan emosi dan menangis sambil memeluk ibu bapanya ketika tiba di pangkuan keluarga di rumah mentua di Kampung Kelochor, di sini, pada Isnin.
Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, atau Azi diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada keluarganya pada jam 2.50 petang.
Sebaik tiba, Azi yang turun dari sebuah kereta polis terus menerpa ke arah ibu bapanya yang menunggu di pekarangan rumah itu lalu mereka bersalaman dan berpelukan erat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis membawa pulang mangsa dan diserahkan kepada keluarganya dalam keadaan yang selamat namun dia mengalami tekanan emosi.
“Mangsa mengalami tekanan emosi mungkin dalam jangka masa yang panjang tetapi keadaannya baik. Dapat bercakap dan berfikir dengan baik.
“Kejadian ini memberikan kesan bukan sahaja kepada mangsa malah keluarganya dan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kelochor, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, polis juga mengadakan sesi kaunseling terutama terhadap mangsa dan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa mangsa serta keluarganya.
“Jadikan kes ini satu ikhtibar dan kerjasama semua yang mengambil berat terhadap kes ini sangat membantu.
“Kami mendapat bantuan yang cukup hebat daripada pihak Bukit Aman dan yang penting hubungan baik serta kefahaman dengan negara jiran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kes penculikan ini sudah selesai namun ada perkara lain lagi yang perlu disiasat sekiranya ada hal-hal yang menyalahi undang-undang.
“Tujuh ditahan sebelum ini kerana dipercayai ada kaitan dengan kes.
“Tiga daripadanya sudah dibebaskan manakala empat lagi masih ditahan untuk siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Perculikan 1961.
Pada 13 September lalu, Rosnazirah diculik sekumpulan lelaki yang menaiki kereta jenis Toyota Vios di hadapan rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat
Mangsa bawa ke Thailand menerusi Sungai Golok menaiki sebuah bot.
Mangsa berjaya diselamatkan oleh PDRM dengan bantuan polis Thailand dan dibawa pulang ke negara ini pada 29 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!