Arwah Muhaimin, anak yang baik suami yang prihatin
KLANG - Penghantar makanan, Muhaimin Said, 34 yang maut dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Haji Sirat, Meru, 3 September lalu disifatkan sebagai seorang anak yang baik.
Ibunya, Zailan Soid, 72, berkata, Allahyarham sangat prihatin dengan kebajikannya malah tidak malu memakaikannya lampin pakai buang.
Menurutnya, Muhaimin sempat bermalam dua hari di rumahnya dan menghantar ke klinik kesihatan sebelum kejadian.
"Hari Rabu, dia bawa mak cik ambil darah di Klinik Rantau Panjang dan hari Jumaat dapat tahu dia dah meninggal dunia, mana mak cik tak terperanjat.
"Dia anak kesayangan mak cik, segala urusan mak cik dia uruskan, kalau balik kerja bawa makanan dia suapkan mak cik," katanya ditemui pada sesi Penyerahan Faedah Perkeso di rumahnya di Jalan Haji Musran Rantau Panjang, di sini pada Isnin.
Penyerahan faedah Perkeso disampaikan oleh Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed kepada balu Allahyarham Muhaimin, Nur Izwana Othman, 26.
Zailan berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu juga pernah menyuarakan kebimbangan akan nasibnya jika ditakdirkan Allahyarham pergi dahulu.
"Mak cik pakai lampin pakai buang setiap malam, anak-anak tak bagi ke tandas kerana bimbang jika jatuh. Kalau saya belum pakai, dia akan pakaikan.
" Kuku saya pun dia potongkan. Banyak kenangan dengan arwah, bila nampak baju kerja dia mak cik akan menangis.
"Duit tak sama dengan nyawa tapi nak buat macam mana sudah ketentuan ALLAH SWT. Dia memang anak yang baik, " katanya.
Sementara itu, Nur Izwana yang baru dua minggu bernikah menganggap arwah suami sebagai seorang yang prihatin.
"Dia suami yang baik dan sentiasa bantu saya. Apa yang saya buat, dia akan bantu adakala sampai lewat pergi kerja.
"Kalau nampak saya luka, dia akan sapukan ubat. Dia pernah kata, kalau dia dah tak ada siapa yang akan sapukan ubat, bukan senang untuk dapat suami sepertinya," katanya.
Nur Izwana berkata, perbualan terakhir bersama arwah berkenaan perancangan pulang ke kampung antara kenangan terakhir yang diingati.
"Saya cakap bulan depan mahu balik kampung bersama kakak kerana ada urusan. Dia cakap kalau abang ipar dapat cuti dan boleh hantar maka dia tak turut serta.
"Saya ada tanya kenapa dia cuma jawab tak perlu ikut jika ada yang boleh hantar saya pulang," katanya.
Katanya, buat masa ini dia akan tinggal bersama ibu mertuanya sebelum memikirkan soal kerja bagi meneruskan kehidupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!