Jual dadah dalam minuman berperisa

Soffian (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada keempat-empat suspek.
Soffian (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada keempat-empat suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing disyaki sindiket edar dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sini pada 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan bermula jam 2.30 petang hingga 8.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM168,034.

"Dua daripada mereka adalah sepasang kekasih. Dengan penahanan ini, kita berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah.

"Mereka ini mencampurkan serbuk dadah iaitu methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) ke dalam serbuk minuman yang terdiri daripada pelbagai jenis perisa, bertujuan untuk mengaburi mata pihak polis.

"Kita berjaya merampas 3.15 kilogram (kg) MDMA, 57.33 gram ketamin, 123 biji pil ekstasi dan enam biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM168,034," katanya pada sidang akhbar di IPDTL pada Isnin.

Soffian berkata, sindiket tersebut menjalankan kegiatan mereka itu menerusi aplikasi WeChat yang mana, pembayaran dijalankan secara dalam talian.

"Ahli sindiket akan meninggalkan dadah yang dipesan di lokasi yang ditetapkan sebelum diambil oleh pelanggan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket ini bergiat aktif sejak Jun lalu dan urusan penjualan hanya dijalankan dalam talian tanpa bersemuka," katanya.

Beliau berkata, polis menyerbu sebuah kondominium di Jelutong pada 2.30 petang selepas menerima maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

"Dalam serbuan pertama itu, kita menahan sepasang kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun serta wanita warga asing berusia 29 tahun. Dalam serbuan itu juga, kita merampas 65 gram MDMA dan enam biji pil eramin 5.

"Susulan itu, kita menyerbu sebuah kondominium lagi di Pengkalan Weld lalu menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan merampas 131 bungkusan serbuk minuman pelbagai perisa yang dicampur dengan dadah MDMA seberat 3.085g dan 22 gram ketamin," kata Soffian.

Jelasnya lagi,sementara itu, seorang lelaki dipercayai ahli sindiket sama turut di Jalan Tunku Kudin 2, Gelugor di sini ketika suspek berusia 34 tahun sedang memandu kereta jenis Nissan Almera.

"Suspek memecut kenderaannya selain memandu secara melulu dan berbahaya serta cuba melanggar pegawai dan anggota polis ketika cuba melarikan diri.

"Kita mengejar kereta suspek kira-kira 8 kilometer dan melihat tindakan suspek yang akan membahayakan orang awam, polis melepaskan tujuh das tembakan ke arah tayar kereta suspek untuk memberhentikannya," katanya.

Soffian berkata, pemeriksaan ke atas kereta suspek menjumpai polis menemui 123 biji pil ekstasi dan 10 paket ketamin seberat 35.33 gram.

"Siasatan awal mendapati, suspek berperanan membekalkan dadah kepada ahli sindiket lain sebelum mereka yang lain mencampurkannya dengan pelbagai minuman berperisa.

"Ahli sindiket ini akan membungkus semula minuman berperisa tersebut sebelum menjualnya di pusat-pusat hiburan sekitar negeri ini dengan harga RM150 hingga RM250 setiap bungkus," katanya.

Menurut beliau lagi, polis turut menyita wang tunai RM1,150 dan menyita dua buah kenderaan bernilai RM128,000.

"Hanya seorang daripada suspek lelaki bekerja sebagai pemandu e-hailing manakala suspek lain tidak mempunyai pekerjaan. Mereka direman sehingga 7 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!