Henti maki UMNO: Ku Nan

Ku Nan
Ku Nan
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli dan bekas ahli UMNO diingatkan agar menghentikan perbuatan melemparkan kata-kata makian terhadap pemimpin parti itu.

Sebaliknya Bendahari UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, individu tersebut perlu muhasabah diri

"Jika tidak mahu lagi bersama dalam UMNO maka jangan pula nak pertikai itu ini, lebih baik diam," tulisnya di Facebook pada Isnin.

Menurutnya, setiap hari parti itu menerima kritikan dan lebih malang lagi ianya datang daripada individu yang pernah dijulang oleh UMNO.

"Amat memalukan mereka pernah menyulam kegemilangan, mendapat kemashyuran dan ternama lantaran nama UMNO.

"Diangkat jadi pemimpin kerana UMNO, mendapat kepujian juga jadi hartawan dan kaya-raya berikutan keanggotaannya dalam UMNO," katanya.

Beliau berkata, UMNO bukanlah parti mainan atau seperti parti lain yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

"Sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan parti, UMNO adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa serta negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, perjuangan UMNO tidak akan berubah biarpun usianya telah lebih 70 tahun.

"Kita anggap mereka yang burukkan dan mahu kuburkan UMNO seperti angin badai yang datang tetapi tidak akan menumbangkan pohon kukuh," katanya.

Menyifatkan pihak yang memburukkan UMNO itu tidak dapat menerima perubahan parti itu Tengku Adnan berkata, mereka sepatutnya sedar diri.

"Siapa mereka sebelum berpaut pada UMNO. Apabila niat mahu kuburkan UMNO, maka lebih elok cermin diri untuk menilai apakah wajar membunuh peluang orang lain pula sedangkan UMNO menjadikan rakyat dan negara lebih baik demi masa hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!