Gesa kerajaan negeri perjelas segera isu REE
ALOR SETAR - Kerajaan negeri digesa memberi penjelasan berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri ini dengan memperincikan beberapa perkara.
Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, antara aspek yang perlu diperjelaskan adakah aktiviti tersebut dilakukan oleh syarikat pemegang lesen yang dibenarkan untuk mengkaji REE, yang diberikan kepada mereka dua tahun lalu.
Menurutnya, penjelasan juga perlu dibuat berhubung penglibatan kerajaan negeri dalam penerokaan tersebut.
"Apakah kerajaan negeri mempunyai milikan saham dalam syarikat yang beroperasi itu bagi meneroka nadir bumi tersebut.
“Ini kerana menurut maklumat daripada penduduk, mendapati papan tanda di pintu masuk ke tapak operasi terpampang logo Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Shaiful Hazizy berkata, ini menunjukkan seolah-olah syarikat milik kerajaan negeri (GLC) tersebut terlibat dengan syarikat yang melakukan jenayah kecurian REE berkenaan.
"Kerajaan negeri diminta bertindak tegas dengan menutup tapak tersebut dan menghentikan operasi syarikat berkenaan serta-merta," katanya lagi.
Menurutnya, siasatan rapi dan terperinci terhadap operasi jenayah tersebut perlu segera dilakukan.
"Ini merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat serta negara dan disebabkan itu, tindakan tegas perlu diambil kepada syarikat mahu pun individu terlibat,” ujarnya.
Pada Isnin, sebuah akhbar melaporkan, negara mungkin sudah kerugian mencecah berbilion ringgit apabila hasil REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.
Mineral tidak beradio aktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi dan digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!