Soalan pemandu 'ingin buang air besar' undang tawa di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Bagaimanakah sekiranya pemandu terpaksa memandu laju kerana tiba-tiba sakit perut dan ingin membuang air besar, namun disaman selepas kelajuan itu dirakamkan oleh kamera Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS)?
Persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat mengundang ketawa di kalangan Ahli Parlimen.
“Kalau ada perkara-perkara kecemasan yang kita terpaksa laju contohnya isteri nak bersalin, kita nak ‘melepas’, jadi kalau macam tu apa caranya untuk kita buktikan. Soalan nampak lucu tetapi memang ada pengguna jalan raya tiba-tiba sakit perut dan nak melepas (membuang air besar) terpaksa (memandu) laju,” katanya.
Kedengaran seorang Ahli Parlimen juga berjenaka dengan bertanya sama ada Ismail pernah melalui pengalaman seumpama itu.
Menjawab soalan Ismail itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamaruddin Jaffar berkata beliau yakin pihak berkuasa akan memahami situasi dialami pemandu itu.
"Apabila akhirnya disaman dan terpaksa ke mahkamah, jawapan-jawapan yang seperti itu sudah tentu diambil kira oleh hakim-hakim Mahkamah Majistret,” katanya sambil ketawa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!