Nombor telefon peribadi PM UK dijual dalam talian

Truss - Foto Deccan Herald
Truss - Foto Deccan Herald
A
A
A

LONDON - Nombor telefon bimbit peribadi Perdana Menteri Britain, Liz Truss dan ahli politik lain dilaporkan dijual menerusi laman sesawang, lapor media tempatan pada Ahad.

Sebuah laman sesawang yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), mengenakan bayaran £6.49 (AS$7.2) untuk akses selama seminggu, ke pangkalan data nombor telefon hasil pelanggaran data dan serangan siber sebelum ini, lapor Agensi Anadolu.

Seorang wartawan dari Mail pada Ahad menemui nombor peribadi yang didakwa milik perdana menteri itu, dan selepas menambah nombor terbabit ke aplikasi WhatsApp, satu gambar profil perdana menteri ketika Krismas lalu terpapar di skrin.

Di samping perdana menteri, nombor telefon peribadi didakwa milik 25 anggota Kabinet lain juga turut tersenarai, termasuk Kwasi Kwarteng, menteri kewangan; Ben Wallace, setiausaha pertahanan; dan James Cleverly, setiausaha asing.

Jurucakap kerajaan memaklumkan pihaknya mengambil serius berkenaan keselamatan siber dan agensi seperti Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan bertindak membantu pemilik perniagaan dan individu-individu melindungi maklumat peribadi mereka daripada ancaman siber.

"Walaupun kami tidak mengulas mengenai insiden tertentu, kerajaan sedar bahawa laman sesawang yang wujud itu mengumpulkan butiran hasil pelanggaran terhadap data sejarah, oleh itu kebanyakan data di laman sesawang ini data lama dan tidak tepat.

"Menteri-menteri menerima taklimat dan nasihat keselamatan secara tetap, termasuk nasihat tentang melindungi data peribadi mereka demi mengurangkan ancaman siber,” menurut jurucakap kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!