Beri perhatian sektor pertanian negara

Usaha tanah-tanah terbiar sebagai ladang bagi pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan. Foto 123RF, gambar kecil: Syed Abd Rahman
Usaha tanah-tanah terbiar sebagai ladang bagi pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan. Foto 123RF, gambar kecil: Syed Abd Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands berharap pemimpin politik dan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi perhatian kepada sektor pertanian negara.

Pengerusinya, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, antara perkara yang perlu dilakukan adalah mengusahakan tanah-tanah terbiar sebagai ladang bagi pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.

“Ini boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan petani dan pekebun tempatan seperti menyewakan tanah itu kepada mereka pada harga yang murah.

“Saya turut harap diwujudkan industri baharu bagi penghasilan baja dan anak benih sayur-sayuran serta buah-buahan kerana kita masih bergantung dengan import,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai contoh ujar beliau, baja urea dan fertigasi yang digunakan meluas oleh petani moden kini kebanyakannya diimport dari China dengan kos mencecah RM20,000 setiap tan.

Tambahnya, jika negara menghasilkan bahan itu sendiri, maka kos tersebut hanya sekitar RM5,000 ke RM10,000 sahaja.

“Saya juga harap beri perhatian kepada generasi muda yang terlibat dalam latihan melibatkan industri pertanian terutama dalam meningkatkan kebolehpasaran kerja.

“Sediakan peluang pekerjaan lebih bersistem kepada mereka seperti mempunyai skim gaji dan pencen yang setimpal sebagaimana dinikmati penjawat awam lain,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyarankan agar penanaman padi dan pengeluaran beras diperkasakan bagi menampung keperluan dalam negara.

“Kita tidak mampu capai pengeluaran sehingga 90 peratus dan terpaksa mengimport beras dari luar negara seperti Thailand.

“Ini sudah pasti tidak baik bagi masa hadapan negara jika berlaku krisis global dan negara pengimport tidak mahu membekalkan lagi kepada kita,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!