Rodgers lega Leicester raih kemenangan pertama
BRENDAN Rodgers akhirnya menemui formula kemenangan apabila Leicester meraih tiga mata pertama musim ini selepas membenam Nottingham Forest 4-0 pada Selasa.
Kemenangan itu mengurangkan sedikit tekanan bos The Foxes apabila tewas lima kali dan seri sekali dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.
Pemain sensasi James Maddison menjadi inspirasi buat The Foxes apabila meledak dua gol.
Kemenangan itu bagaimanapun belum mampu mengeluarkan The Foxes daripada zon penyingkiran dengan menghuni tangga kedua terbawah, manakala Forest terbenam di dasar liga.
Skuad kendalian Rodgers menewaskan Forest menerusi tiga gol dalam tempoh 10 minit babak pertama di Stadium King Power.
Maddison meledak antara jaringan Harvey Barnes dan Patson Daka pada babak kedua ketika Leicester menang kali pertama musim ini selepas mengharungi lapan perlawanan.
Leicester tewas enam perlawanan awal menyebabkan Rodgers terpaksa mempertaruhkan jawatannya bagi mengelak dipecat kerana mengkritik pemilik dari Thailand berikutan tidak menyokongnya dalam fasa perpindahan.
Kemenangan dalam aksi tetangga East Midlands mampu memberikan Rodgers sedikit peluang untuk bernafas dengan skuad itu kini satu tempat di atas Forest menerusi perbezaan gol.
"Apabila anda tidak menang perlawanan, ia akan datang kepada awak. Kami melalui musim panas yang teruk, itulah realitinya dan ia berterusan pada awal musim.
"Saya hanya perlu ingatkan pemain mengenai kemampuan mereka dan terus memberikan sokongan.
"Mereka perlu terus bertahan. Kami hanya perlu menukar selekoh malam ini (Selasa) dan kami berjaya melakukannya," ujar Rodgers.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!