TMESA, Sinar Harian beri enam komputer kepada Penjara Kluang
KLUANG - Alumni Sekolah Menengah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA) dengan kerjasama Sinar Harian dan Kumpulan Karangkraf mengambil inisiatif memberikan sumbangan enam set komputer dan buku kepada Penjara Kluang.
Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan penghuni penjara lebih-lebih kepada pesalah yang akan menyambung pengajian di dalam Program Pengajian Diploma Keusahawanan.
"Difahamkan seramai 25 pesalah muda akan menyambung pengajian dalam Program Pengajian Diploma Keusahawanan hasil kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).
"Justeru, sumbangan komputer dan buku ini diharap dapat dimanfaatkan sepanjang proses pengajian dan pembelajaran kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan sumbangan komputer dan buku kepada Pengarah Jabatan Penjara Negeri Johor, Ku Nawawi Ku Hamid di sini pada Isnin.
Sementara itu, Ku Nawawi berkata, sumbangan terbabit amat dihargai bagi membolehkan penghuni penjara menambah ilmu pengetahuan.
"Bermula pada bulan ini, seramai 25 pesalah muda yang terpilih akan mengikuti pengajian secara talian dan fizikal di bawah Program Pengajian Diploma Keusahawanan hasil kerjasama Jabatan Penjara dan UPSI.
"Pesalah berusia di bawah 25 tahun ini yang dipilih ini dijangka akan menamatkan pengajian mereka dalam tempoh dua tahun," katanya.
Tambahnya, sumbangan yang diterima seperti bahan bacaan dan komputer amat membantu dari segi pemulihan penghuni yang lebih menyeluruh selain meningkatkan pengetahuan serta akademik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!