Krisis keyakinan hantui semua orang: Klopp
JURGEN Klopp mahu Liverpool bangkit mendapatkan kembali prestasi terbaik The Reds apabila membandingkan isu keyakinan pasukannya dengan apa yang pernah dihadapi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebelum ini.
“Orang akan bertanya, bagaimana boleh terjadi apabila kelompok pemain ini tidak cukup yakin,” kata pengendali dari Jerman itu.
The Reds ketika ini menghuni tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas sekadar mencatat dua kemenangan daripada tujuh perlawanan dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Ronaldo lebih banyak memanaskan bangku simpanan selepas hanya sekali memulakan aksi dalam saingan EPL buat Manchester United musim ini
Messi pula hanya meledak enam kali pada kempen sulung di Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021/22.
“Anda ada fikir Cristiano Ronaldo (yang diletakkan sebagai pemain simpanan di United) pada ketika ini berada pada tahap keyakinan tertinggi dalam dirinya?
“Sejak beberapa tahun lalu, dia adalah pemain terbaik di dunia dan kini situasinya tidak sama lagi. Ia berlaku kepada semua orang.
“Lionel (Messi) bermain tahun lalu (musim pertama di PSG) apabila prestasinya tidak sama kerana perkara begini amat penting untuk kami dan anda perlu bekerja keras untuk mengatasinya,” ujar Klopp.
Beliau berkata, sukar untuk mengekalkan momentum berikutan gangguan dalam jadual Liverpool selepas dua aksi pasukan itu ditangguhkan susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, bulan lalu.
“Anda perlu bertindak untuk memastikan langkah ke arah sepatutnya dan bersedia apabila saat itu berlaku semula dan itulah yang sedang kami lakukan,” ujar Klopp.
Jadual padat pada musim ini, termasuk Piala Dunia di Qatar pada November depan, sudah pasti akan memeningkan kepala ramai jurulatih dan pemain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!