Pelantikan KPISoft sebagai pembangun MySejahtera tak teratur

Aplikasi MySejahtera. Gambar kecil: Wong Kah Woh
Aplikasi MySejahtera. Gambar kecil: Wong Kah Woh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera pada Mac 2020 didapati tidak teratur serta tidak berlandaskan prosedur atau tatacara perolehan kerajaan.

Keputusan itu merupakan antara lapan rumusan yang dibuat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan pembentangan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada Selasa.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pelantikan itu juga tidak mempunyai sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan tersebut.

Menurutnya, satu-satunya dokumen yang wujud adalah NDA yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dengan KPISoft.

“Rumusan kedua pula, konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera.

“Selain itu, konsep CSR dilihat telah digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya.

“Dapatan keempat mendapati syarikat pembangun aplikasi MySejahtera pernah mencadangkan agar aplikasi ini dikomersialkan. Ini menunjukkan potensi aplikasi MySejahtera sebagai satu aplikasi nasional yang amat bernilai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kah Woh berkata, rumusan lain yang diperoleh adalah Kementerian Kewangan (MOF) telah menetapkan harga siling sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera bagi tempoh dua tahun (RM98 juta setahun).

Artikel Berkaitan:

Katanya, amaun ini adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep CSR.

“Selanjutnya, kerajaan didapati telah memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalahguna, namun syarikat pembangun aplikasi MySejahtera iaitu KPISoft (Entomo) telah didapati membuat perakuan bahawa ia pemilik harta intelek aplikasi MySejahtera.

“Kerajaan turut didapati masih belum mendaftarkan harta intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO yang boleh menyebabkan aplikasi ini dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi,” katanya.

Tambah beliau, rumusan terakhir adalah pengambilan pembangunan dan pengoperasian aplikasi MySejahtera boleh dilaksanakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang mempunyai kepakaran dan keupayaan sebagai satu Jabatan Teknikal ICT Kerajaan.

Jelas Kah Woh, prosiding yang berlangsung sebanyak dua kali iaitu pada 14 dan 21 April lalu itu turut memanggil beberapa saksi penting antaranya Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam pada itu, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, PAC turut mengesyorkan empat penambahbaikan kepada kerajaan untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

"Salah satu daripada empat syor itu adalah kerajaan perlu menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus yang dibuat melalui Keputusan Jemaah Menteri bertarikh 27 November 2021," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!