Pembeli tuntut pemaju, SPNB siapkan rumah terbengkalai

Hassan (tengah) bersama pembeli Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Johor Bahru melakukan piket aman di pekarangan Menara Tabung Haji, Johor Bahru pada Selasa, menuntut pihak pemaju dan SPNB menyiapkan projek perumahan itu.
Hassan (tengah) bersama pembeli Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Johor Bahru melakukan piket aman di pekarangan Menara Tabung Haji, Johor Bahru pada Selasa, menuntut pihak pemaju dan SPNB menyiapkan projek perumahan itu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Pembeli Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana di sini akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB) sekiranya masih gagal menyiapkan rumah itu dan menyerahkan kunci dalam masa terdekat.

Roslylee Abu Bakar, 54, berkata, pembeli kesal dan sudah muak dengan pelbagai alasan serta janji diberikan pemaju dan SPNB sejak pangsapuri berkenaan terbengkalai lebih 10 tahun lalu.

"Rumah ini dibeli arwah suami saya dan mula membayarnya sejak November 2010 semasa dia masih hidup. Sejak itu kami membayar ansuran rumah RM800 sebulan sehingga kini. Jika tidak bayar pihak bank akan senaraihitamkan nama pembeli.

"Pada masa ini saya perlu membayar sewa rumah di Kampung Melayu RM750 sebulan. Ini membebankan saya yang sudah tidak bekerja. Setiap bulan saya perlu membayar ansuran rumah tersebut dan juga rumah sewa," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas bersama-sama pembeli pangsapuri tersebut dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyerahkan memorandum kepada wakil SPNB di Menara Tabung Haji di sini pada Selasa.

Projek itu yang dikendalikan SPNB mula dibina pada 2010 dan dijadual siap pada Mei 2013, mempunyai keluasan 8.5 hektar dengan 972 unit pangsapuri meliputi enam blok yang dijual dengan harga antara RM50,000 dan RM250,000 sebuah.

Beberapa sidang akhbar pernah diadakan pembeli antaranya pada 2017, 2019, 2021 dan terbaharu Julai lalu bagi mendesak pihak SPNB serta pemaju menyiapkan rumah tersebut tetapi masih lagi tidak siap.

Projek itu sudah tiga kali bertukar pemaju bermula dengan SPNB sebelum dijual kepada syarikat pemaju swasta, Cosmic Master Development Sdn Bhd pada 2015 dan kini bertukar tangan kepada subkontraktor syarikat Hong Xin.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai lalu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan, kunci akan diserah secara berperingkat-peringkat mulai Ogos lalu membabitkan Fasa Dua iaitu Blok A,B dan C namun sehingga kini tiada penyerahan dibuat.

Roslylee berkata, mereka bercadang untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dapat dilakukan sekiranya terdapat unsur rasuah dalam projek itu.

See Sock Chin, 50, pula berkata, pembeli sudah bosan dengan pelbagai alasan diberikan pemaju dan SPNB, sepatutnya pihak berkenaan bertanggungjawab serta mengambil serius perkara tersebut kerana pembeli membuat bayaran ansuran rumah setiap bulan.

"Saya bayar ansuran rumah ini RM221 sebulan sejak 2013 hingga kini dan juga terpaksa bayar rumah sewa RM350 sebulan di Taman Johor Jaya," katanya yang masih bekerja kilang, belum berkahwin dan merupakan orang kurang upaya (OKU).

Ramli Yusof, 38, mendakwa, pihak terbabit memberi harapan dan janji palsu setiap kali pembeli mahukan jawapan bila sebenarnya kediaman tersebut boleh diduduki.

"Setiap hujung tahun pemaju dan SPNB beri pelbagai janji yang tidak pernah ditepati. Kami sudah menggunakan semua saluran yang ada untuk menyuarakan masalah ini termasuk kepada menteri terbabit tetapi tidak selesai.

"Pembeli sudah buntu mencari jalan penyelesaian, Menteri Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kerajaan negeri sudah beberapa kali bertukar tapi masalah ini tidak pernah selesai," katanya.

Dia yang membayar ansuran rumah itu RM700 sebulan dan juga menyewa rumah RM1,000 di Permas berharap, penyerahan memorandum tersebut akan menjadi jalan terakhir menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Hassan berkata, pihaknya akan menyuarakan masalah tersebut di Parlimen dan bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk mencari penyelesaian.

Dalam pada itu, wakil SPNB ketika ditemui selepas menerima memorandum tersebut berkata, pihaknya akan melantik kontraktor baharu dan semua masalah pembeli boleh diadukan kepada SPNB Johor.

Pangsapuri terbengkalai di Plentong siap April 2023: SPNB

Sementara itu SPNB memberi jaminan akan memastikan pangsapuri berkenaan akan disiapkan menjelang April 2023.

SPNB dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya komited untuk menyiapkannya mengikut jadual selepas mengambil alih projek projek perumahan berkenaan yang terbengkalai.

"Usaha pengambilalihan ini telah dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman SPNB sendiri bagi memastikan projek ini dapat dijalankan dan diserahkan kepada pembeli dengan kadar segera.

"Untuk makluman, status kemajuan bagi Blok A,B dan C yang merangkumi 657 unit dijangka akan menerima CCC pada Januari 2023 selepas kerja-kerja penyambungan elektrik dan air dapat disiapkan," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Jelas SPNB, bagi blok D dan E, status kemajuan adalah pada kadar 95 peratus dan jangkaan untuk menerima CCC adalah pada April 2023 manakala bagi 160 unit di blok F telah siap dibina dan diserahkan kunci kepada pemilik.

Menurut syarikat tersebut, perkembangan projek itu juga dipantau Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melalui 'war room perumahan' kementerian itu yang dipengerusikan beliau sendiri.

"SPNB akan memastikan hak-hak setiap pembeli adalah terjamin seperti mana yang termaktub di dalam perjanjian jual beli yang telah ditandatangani oleh para pembeli sebelum ini," tambah kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!