PRU15: Menteri PN diarah suarakan pendirian

Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Perikatan Nasional (PN) diarah untuk menyatakan pendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan tahun ini susulan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian itu perlu dinyatakan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, semua ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama,

"PRU semasa musim banjir akan menjejaskan perjalanan pilihan raya selain menyusahkan rakyat.

"Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhyiddin berkata, rakyat sedang mengalami bebanan inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit serta kesan proses pemulihan negara yang masih perlahan.

"Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023," katanya.

Jumaat lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada awal September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini sekali gus membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh tersebut di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!