Saman sivil terhadap Tommy Thomas, Najib dibenar hadir

Najib dibenarkan untuk menghadiri perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas pada 21 Oktober.
Najib dibenarkan untuk menghadiri perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas pada 21 Oktober.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Selasa membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pada 21 Oktober.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan bahawa, Najib selaku plantif mempunyai hak untuk mendengar kes sivilnya.

"Jika perbicaraan kes jenayah, perintah untuk mengemukakan mungkin boleh dibuat. Ia (permohonan pembatalan) mungkin bersifat interlokutori. Mahkamah ini setuju dengan permohonan kamu, mahkamah benarkan perintah seperti dipohon,” kata Hakim Ahmad menerusi prosiding secara dalam talian pada Selasa.

Pada 21 Oktober, mahkamah dijadualkan untuk menyambung mendengar permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib.

Pada awalnya, Peguambela Najib Yudistra Darma Dorai menyatakan bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan exparte oleh anak gumannya, yang pada ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi menghadiri perbicaraan mahkamah mengikut Seksyen 30 Akta Penjara.

Seksyen 30 menyatakan bahawa bila masa kehadiran seorang banduan dikehendaki dalam sesuatu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sivil atau jenayah, mahkamah itu boleh mengemukakan suatu perintah dalam bentuk yang ditetapkan dialamatkan kepada Pegawai yang Menjaga yang menghendaki pengemukaan banduan itu pada masa dan tempat yang dinyatakan dalam perintah.

Pada 22 Oktober 2021, Najib menfailkan saman mendakwa bahawa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu

Najib, 69, mendakwa bahawa dia telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Artikel Berkaitan:

Beliau memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!