PH pantau kerja korek pasir di Melaka: Norhizam
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana kerja pengorekan dan mendalamkan sungai namun ada di antara projek yang dijalankan telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani, Norhizam Hassan Baktee berkata, projek korek pasir dan mendalamkan sungai yang terletak berdekatan Sungai Rembau tersebut merupakan projek yang telah diluluskan sebelum ini dan terpaksa diteruskan.
Menurutnya, sekiranya projek yang diluluskan diberhentikan kerajaan terpaksa membayar pampasan akibat melanggar syarat yang ditetapkan.
"Bagaimanapun kita benarkan projek itu dijalankan dalam percubaan selama enam bulan dan ia masih dalam pemantauan kami sama ada mahu meneruskan ataupun tidak.
"Jika projek itu tidak menepati syarat yang ditetapkan seperti mendatangkan kesan pada sungai ini, kami akan hentikan dalam tempoh yang diberikan ini," katanya.
Norhizam yang juga ADUN Pengkalan Batu, berkata, pihaknya akan dapatkan maklumat syarikat pengorek pasir ini dan lihat bagaimana ianya diluluskan sebelum ini.
"Jika berterusan masalah sampah berlaku seperti air sungai keruh dan sebagainya kami akan tutup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!