Johor Dive ditunda tahun depan atas faktor keselamatan

Raven Kumar (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Majestic Johor Safe and Clean serta Majestic Johor Award di Johor Bahru pada Selasa.
Raven Kumar (tengah) pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Majestic Johor Safe and Clean serta Majestic Johor Award di Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Johor Dive di kepulauan Mersing yang sepatutnya diadakan selama tiga hari bermula hujung bulan ini ditunda pada tahun depan berikutan perubahan cuaca akibat monsun Timur Laut.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar berkata, kerajaan negeri merancang mengadakan program berkenaan pada Julai atau Ogos tahun depan.

"Johor Dive terpaksa ditunda kerana keselamatan. Apabila musim monsun kita tidak dapat jangkakan keadaan arus di bawah laut.

"Program ini dijangka melibatkan 100 peserta dalam dan juga luar negara antaranya Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Antara pulau yang dirancang untuk diterokai ialah Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Mensirip," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Majestic Johor Safe and Clean serta Majestic Johor Award di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Raven Kumar berkata, Tourism Johor adalah penganjur program itu dan persiapan sudah hampir 90 peratus siap malah turut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Julai lalu.

Kata beliau, program yang julung kalinya dianjurkan itu sepatutnya berlangsung pada 8, 9 dan 10 Oktober ini.

"Berikutan musim monsun ini, ada beberapa program pelancongan kita lihat semula dan hadkan termasuk di pantai serta kepulauan Mersing juga mula ditutup," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai alternatif katanya, terdapat lokasi di Taman Negara yang dibuka dan orang ramai boleh merancang mengadakan lawatan ke sana.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!