Gesa BNM longgar syarat pinjaman rumah
KUANTAN- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Pahang berharap Bank Negara Malaysia (BNM) dapat memberi kelonggaran terhadap kriteria pinjaman perumahan.
Pengerusinya, Wong Kok Loon, berkata ia berikutan pembelian hartanah dianggap sebagai komoditi yang boleh mencatat peningkatan nilai di masa hadapan.
Menurutnya berbanding pinjaman yang diberikan untuk pembelian aset lain yang mengalami kemerosotan nilai, 99.99 peratus aset hartanah yang dibeli akan mengalami peningkatan nilai.
"Kami melihat buat masa ini tiada berlaku lambakan rumah yang tidak dijual tetapi kelulusan pinjaman perumahan daripada bank yang sukar menyebabkan ramai yang berminat tidak dapat membeli rumah.
"Justeru, kami memohon BNM dapat mempertimbangkan kelonggaran kepada pembeli hartanah yang berpotensi," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kok Loon berkata masyarakat yang mengidamkan untuk membeli rumah pada tahun ini, mereka harus merebut peluang potongan sebanyak 10 peratus yang telah disediakan oleh pihak REHDA Malaysia.
Menurutnya, namun keistimewaan tersebut hanya ditawarkan sehingga Jun ini dan hanya mendapat potongan dengan pemaju yang berdaftar di bawah program Kempen Pemilikan Rumah.
"Promosi potongan 10 peratus itu hanya terhad sehingga 30 Jun ini yang kini sedang dijalankan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Sejak promosi ini dimulakan, kita lihat pembelian rumah semakin meningkat yang dibuktikan melalui Mapex di Kuala Lumpur yang telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM250 juta.
"Jadi kita lihat ramai yang tertarik dengan promosi tersebut dan diharap agar promosi tersebut menjadikan tarikan orang ramai untuk datang ke Mapex 2019 Pahang pada 12 hingga 14 April ini yang bertempat di Kuantan Parade," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!