Tun M sepatutnya berterima kasih kepada BN: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya berterima kasih kerana BN pernah menyelamatkan kelangsungan pentadbiran negara yang kucar-kacir akibat percaturan politik beliau dan Pakatan Harapan (PH), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, bekas Perdana Menteri itu mendakwa kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana BN merampas kuasa.
Menurutnya, sedangkan Tun M terlupa kerajaan PH tumbang selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran perebutan kuasa yang terjadi dalam gabungan parti itu.
“Kisah perebutan kuasa yang berlaku dalam kerajaan PH ketika itu bukan satu rahsia lagi. Seluruh rakyat telah mengetahui apa yang berlaku.
“Mahathir didesak oleh sekutunya untuk menunaikan janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas tempoh dua tahun.
“Mahathir sebaliknya bertindak meletakkan jawatan dan mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan baharu mengikut kehendaknya.
“Cadangan tersebut telah ditolak oleh ramai pihak kerana berbaur diktator dan autokrat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada Isnin, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) mendakwa PRU15 diadakan untuk membolehkan UMNO menjadi Perdana Menteri.
Menurut Ahmad Zahid, Dr Mahathir menuduh UMNO tidak peduli rakyat dan hanya mahu jadi Perdana Menteri sedangkan parti itu pernah membuktikan sebaliknya.
“UMNO berlapang dada menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ke-8 tanpa sebarang syarat seperti dilakukan beliau terhadap Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Keputusan tersebut dibuat semata-mata demi kelangsungan pentadbiran kerajaan ketika itu yang amat penting kepada rakyat dan negara,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, memang benar rakyat memilih PH pada PRU14 selepas terpedaya dengan pendekatan populis Tun M, DAP, Bersatu, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun rakyat akhirnya menyedari hakikat kebenaran yang dipertontonkan itu.
Katanya, pilihan raya kecil pada 22 Januari 2019 hingga 25 Februari 2020 menyaksikan Tun M dan PH ditolak oleh majoriti pengundi termasuk di Semenyih dan Tanjung Piai.
“Tun tuduh BN rampas kerajaan melalui 'ahli politik katak' tidak benar sama sekali kerana yang menerima banyak 'ahli politik katak' adalah parti mereka sendiri.
“Ketika itu Tun dan Bersatu melahirkan rasa gembira 'ahli politik katak' melompat keluar daripada UMNO untuk bersama beliau dan PH untuk mensucikan diri mereka,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!