Perhimpunan Agung UMNO ditangguh, PRU15 makin jelas
KUALA LUMPUR - Ketua-ketua Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO dimaklumkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada minggu ketiga November akan ditangguhkan.
Menurut sumber, perkara itu sekali gus memberi bayangan jelas bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung pada November depan.
"Kami juga dimaklumkan agar Mesyuarat Bahagian UMNO yang dijadualkan pada 14 hingga 16 Oktober tetap perlu dibuat walaupun Parlimen sudah dibubarkan nanti.
"Jadi kami jangka pembubaran Parlimen akan berlaku selewat-lewatnya minggu hadapan," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa, berlangsung Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) secara tertutup.
Pertemuan selama sejam itu melibatkan Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!