Puchong United kekal rentak kemenangan

Soniia Cheah ketika berdepan Vu Thi Trang dalam aksi Kumpulan B SENHENG redONE Purple League Profesional 2022 di Stadium Malawati Shah Alam.
Soniia Cheah ketika berdepan Vu Thi Trang dalam aksi Kumpulan B SENHENG redONE Purple League Profesional 2022 di Stadium Malawati Shah Alam.
A
A
A

KELAB Badminton Puchong United semakin menghampiri slot separuh akhir SENHENG redONE Purple League Profesional 2022, selepas menewaskan kelab dari Vietnam, Ho Chi Minh City BC 13-5 pada perlawanan kedua Kumpulan B.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan mereka selaku pendahulu kumpulan dengan kutipan mata (382-269) berbanding Ho Chi Minh City BC kedua yang mengumpul mata (297-371).

Bagaimanapun, dua lagi pasukan dalam Kumpulan B, Sena Bangkok dan Serdang BC berpeluang mencabar kedudukan Puchong United selaku juara kumpulan.

Puchong United bermula dengan kemenangan 3-1 yang disumbang oleh Lim Chi Wing yang menewaskan perseorangan lelaki Vietnam, Phan Phuc Tinh 11-4, 8-11, 11-4, 11-7 dalam masa 27 minit.

Momentum Puchong United terhenti seketika apabila jaguh perseorangan wanita Soniia Cheah dikejutkan oleh pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi 2021, Vu Thi Trang 8-11, 11-8, 4-11, 8-11 untuk mengikat kedudukan 4-4.

Soniia mengakui beliau berdepan tugas getir akibat kecederaan buku lali yang dialaminya sekaligus memberi kesukaran buatnya untuk beraksi.

“Saya perlu pulih sepenuhnya untuk mendapatkan momentum bagi beraksi di dalam Indonesia International Challenge bagi merebut tempat ke dalam skuad kebangsaan bagi saingan Sukan SEA dan Sukan Asia,” kata pemenang pingat perak Sukan SEA KL 2017 itu.

Memasuki perlawanan ketiga, Puchong United yang menggandingkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meraih kemenangan mudah mengatasi pasangan Nguyen Duc Hong Phuc-Tran Nguyen Chi Tung dalam ‘straight set’ 11-3,11-3, 11-3.

Artikel Berkaitan:

Mengulas perlawanan mereka, Yew Sin-Ee Yi berkata, “Kami memang bersedia untuk berdepan dengan pasangan yang memberi cabaran seperti mereka. Jadi, ia tidak memberi sebarang masalah buat kami untuk menang selesa.

Dalam aksi beregu campuran pula, pasangan Tan Kian Meng-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah apabila mudah menewaskan lawan mereka Nguyen Anh-Lam My Tien, 3-1 (11-10,5-11,11-6,11-6).

“Kami perlu mengelak melakukan kesilapan pada set pertama. Kami hanya mendapat rentak dan keserasian pada set kedua dan kami harus lebih berhati-hati pada perlawanan terakhir berdepan Sena Bangkok nanti," ujar Kian Meng.

Kemenangan mutlak 13-5 buat Puchong United disempurnakan oleh Liew Daren yang cemerlang mengatasi Nguyen Hai Dang, 3-0 (11-7, 11-9, 11-5)

Musim keenam SENHENG redONE Purple League Profesional berlangsung dari 1 hingga 6 Oktober di Stadium Malawati Shah Alam manakala pusingan akhir akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 8 hingga 9 Oktober.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!