Agong, Permaisuri berangkat ke Majlis Anugerah Sastera Negara

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-15 di ibu negara.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-15 di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam Selasa berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-15.

Pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 8.45 malam disambut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan isteri Datin Balkis Zakaria.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merangkap Ketua Panel Anugerah Sastera Negara Ke-15, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berkenan menerima Sembah Kenal Penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15 Datuk Rahman Shaari yang dibacakan oleh Radzi, merangkap Pengerusi Panel bagi anugerah itu.

Usai Sembah Kenal itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Sastera Negara ke-15 kepada Rahman sebelum menerima sembah ucapan daripada Sasterawan Negara itu.

Sementara itu, Rahman dalam sembah ucapannya berkata mata pelajaran Kesusasteraan Melayu hendaklah terus diperkemas, iaitu dengan mengaplikasi "kaedah berfokus” dan "kaedah mengalami menghayati” yang dikenali dengan meluas sejak 1980-an.

Katanya, pemilihan karya untuk dijadikan teks persekolahan juga hendaklah dibuat dengan rapi dan teliti.

"Jika kedua-dua segi ini berjaya dipermaju, kita tidak mempunyai alasan untuk melihat sastera sebagai subjek yang berada di bawah sains atau apa-apa subjek dan aliran,” katanya yang menghasilkan sejumlah buku puisi selain menghasilkan novel, cerpen dan skrip drama.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Jun lepas, Rahman diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pemilihan Rahman berdasarkan kepada sumbangan beliau yang memanfaatkan sebahagian besar hidupnya untuk perkembangan sastera tanah air.

Anugerah Sastera Negara diberikan sejak 1981 kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui karya bermutu tinggi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!