Sindiket tipu kerja: MHO, MCCC akan bawa memorandum kepada PBB
SEPANG - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) akan membawa memorandum kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meminta campur tangan badan dunia itu terhadap isu tersebut.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada pejabat PBB di Putrajaya Khamis ini.
Beliau berkata, terdapat perkembangan positif dari Kemboja dan Laos dalam operasi menyelamatkan mangsa, namun situasi di Myanmar masih lagi buntu seakan-akan kerajaan negara itu tidak menghiraukan jenayah pemerdagangan manusia terhadap rakyat Malaysia.
"Di Kemboja dan Laos kita lihat ada penglibatan serius polis negara tersebut untuk menyelamatkan rakyat Malaysia.
"Malangnya sindiket itu kini membawa rakyat Malaysia di Kemboja dan Laos untuk diseludup ke Myanmar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan lima lagi rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan daripada sindiket itu di Laos.
Turut hadir Presiden MCCC dan juga bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan.
Musa berkata, operasi menyelamatkan mangsa sindiket tersebut di Myanmar mengalami kesukaran dan mencadangkan Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada kerajaan negara itu.
Selain itu, beliau berkata, perkara itu harus dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN dan PBB yang merupakan platform tertinggi untuk mengetengahkan isu tersebut.
Beliau berkata, Tabung Kemanusiaan telah dilancarkan oleh MCCC untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih terkandas, memandangkan pelbagai faktor seperti penginapan, logistik dan bayaran kompaun kepada imigresen di negara terbabit melibatkan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, Musa berkata, satu tabung khas perlu diwujudkan oleh kerajaan bagi membantu rakyat yang masih terkandas di negara-negara itu.
Sementara itu, seorang mangsa yang dikenali sebagai Tham berkata, beliau tertipu dengan iklan kerja di media sosial yang menjanjikan gaji 7,000 yuan (RM4,568) sebulan, Mac lepas.
Beliau menyedari ditipu apabila dibawa ke satu bangunan di wilayah Bokeo, Laos serta ditahan oleh warga China yang mempunyai senjata.
"Mulanya kita diberitahu kerja di pusat panggilan tetapi sampai sana baru tahu kerja sebagai scammer (penipu). Kita dibawa ke bangunan yang masih tidak siap diubah suai dan pergerakan dikawal.
"Jika tidak dapat mencapai sasaran kita akan didenda seperti berlari 80 tingkat malah ada orang yang dipukul sehingga kaki patah dan kepala pecah," katanya.
Tham berkata, beliau bersama abangnya yang juga mangsa serta dua lagi individu, meminta supaya dilepaskan tetapi diberitahu perlu membayar 500,000 yuan seorang (RM326,587).
Katanya, dia bersama tiga orang lagi melarikan diri dengan bantuan orang tempatan dan bersembunyi, namun mendapati ada wang ganjaran sebanyak 1 juta yuan (RM653,175) ditawarkan untuk menangkap mereka.
Tham yang bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat, mengucapkan terima kasih kepada kedutaan Malaysia di Laos, kerajaan Malaysia, polis, MHO dan MCCC yang tidak pernah berputus asa untuk membantu mereka pulang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!