'Main sepenuh hati'
PEMAIN Kuala Lumpur City (KL City) perlu melupakan segala keperitan dalam jajaran ke perlawanan akhir Piala AFC Antara Zon 2022, dengan memberikan aksi sepenuh hati menentang kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana di Kompleks Sukan Sogdiana, Jizzakh, pada Rabu.
Malah menurut pengendali The City Boys, Bojan Hodak, halangan diharungi kelab itu sepanjang kempen tersebut sewajarnya membolehkan para pemainnya mempamerkan corak permainan lebih matang.
Jelas Hodak, penyandang juara Piala Malaysia itu sebelum kejohanan bermula hanya menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan sahaja.
“Namun sejujur ia merupakan pencapaian yang membanggakan apabila KL City yang pertama kali tampil di kejohanan Asia berjaya mara ke tahap ini tanpa sebarang tekanan untuk perlawanan ini.
“Persediaan pasukan berada dalam keadaan baik dan tiada masalah walaupun perlu mengharungi keadaan cuaca sejuk dan perjalanan jauh.
“Pasukan juga tidak berhadapan dengan masalah kecederaan dengan beberapa pemain tonggak seperti Zhafri Yahya berada dalam keadaan terbaik untuk diturunkan dalam perlawanan ini.
“Jadi para pemain telah melalui fasa kesakitan dan kesusahan itu sebelum ini perlu memberikan aksi sepenuh hati jika mahu melakar keputusan positif dalam perlawanan ini,” katanya pada Selasa.
Pada masa sama Hodak mengakui dua pemain kelab yang berada di tangga kedua Liga Super Uzbekistan kendalian Ulugbek Bakayevv itu perlu diberikan perhatian pada perlawanan berkenaan
Jelasnya, dua watak penting tuan rumah, Shokhruz Norkhonov dan Jasur Khasanov harus diberikan perhatian kerana kedua-dua memiliki penyudah tajam apabila berada dalam kawasan gol lawan.
“Barisan kejurulatihan sudah membuat analisis permainan Sogdiana, dan ternyata ada dua atau tiga pemain cukup berbahaya terutama ketika melancarkan serangan balas.
“Pemain berjersi nombor 10 (Shokhruz) berusia 29 tahun dan 11 (Jasur) berusia 39, namun kudrat Jasur seperti pemain 19 tahun memiliki mampu menjadi ancaman besar kepada KL City.
“Jadi pastinya menjadi cabaran besar kepada pasukan kami untuk mengekang kedua-dua pemain tersebut dalam perlawanan ini," katanya.
KL City sebelum ini mencipta sejarah di pentas Piala AFC musim ini apabila berjaya mengesahkan tempat ke final Antara Zon.
Anak buah Hodak mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 pada separuh akhir Antara Zon di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, pada September.
Sementara itu, kapten KL City, Paulo Josue pula mengakui bahawa Sogdiana merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan ini.
“Perlawanan ini tentu sahaja mencabar kerana Sogdiana bukan lawan sebarangan apabila berada di peringkat ini, tambahan pula beraksi di laman sendiri.
“Namun seperti yang dinyatakan coach Bojan sebelum ini, KL City tampil sebarang tekanan akan memberikan aksi sepenuh hati untuk perlawanan ini.
“Para pemain KL City pun teruja untuk berdepan Sogdiana, yang mana kami pemain mahu menikmati perlawanan ini sepenuh hati dan memberikan keputusan positif,” katanya.
Mengenai pemburuan untuk Anugerah Kasut Emas Piala AFC 2022, Josue yang telah meledak lima gol sepanjang kejohanan itu berkata, dia tidak terlalu memikirkan mengenai status tersebut.
Sebaliknya jelas pemain pemain berusia 33 tahun itu tumpuannya kini adalah memastikan KL City meraih keputusan positif dalam perlawanan tersebut.
“Sejujurnya pada tahap ini perkara itu tidak lagi menjadi perhatian utama kerana pada ketika ini yang lebih penting kejayaan KL City.
“Sebenarnya saya gembira apabila menjadi penjaring terbanyak sehingga peringkat ini, namun KL City masih lagi memiliki pemain yang mampu menjaringkan gol seperti Romel Morales, Jordan Mintah dan Hadin Azman,” katanya.
Pemenang perlawanan ini akan mengesahkan slot perlawanan akhir Piala AFC 2022, bakal berdepan pemenang aksi antara kelab dari Oman, Al-Seeb atau pasukan Bahrain, Al-Riffa.
SENARAI PENJARING PIALA AFC ANTARA ZON 2022
Paulo Josue
Kelab: Kuala Lumpur City FC
Gol: 5
Jasur Khasanov
Kelab: PFC Sogdiana
Gol: 4
Shokhruz Norkhonov
Kelab: PFC Sogdiana
Gol: 4
Komail Al Aswad
Kelab: Al Riffa
Gol: 3
Eid Al Farsi & Muhsen Al Ghassani
Kelab: Al Seeb
Gol: 2
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!