Suami isteri buntu fikirkan kos perubatan anak

Rohidayah (kanan) bersama suami dan dua anaknya.
Rohidayah (kanan) bersama suami dan dua anaknya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri buntu memikirkan kos perubatan yang perlu ditanggung bagi rawatan anak mereka yang mengidap penyakit buah pinggang bocor atau nephrotic syndrome.

Rohidayah Mohamad, 42, berkata, anaknya Sulaiman Akif Mohd Khairul Aswal, 2, dikesan menghidap penyakit itu pada Mei lalu.

"Anak saya sebenarnya menunjukkan simpton penyakit sejak lahir tetapi bulan Mei lalu baru dapat tahu penyakit sebenar yang dihidapi dan tahap kesihatannya juga semakin merosot," ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Rohidayah memberitahu, suaminya, Mohd Khairul Aswal Ngah, 40, terpaksa berhenti kerja sebagai buruh kontrak bagi menguruskan anak mereka yang perlu dirawat di Hospital Kemaman selang dua hari sekali.

"Semasa masih bekerja, suami saya dapat dalam RM80 sehari. Sekarang dia terpaksa berhenti kerja untuk beri perhatian penuh pada anak," katanya.

Rohidayah bekerja sebagai guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dengan pendapatan kira-kira RM700 sebulan.

Sulaiman Akif menggunakan tiub yang perlu ditukar dua minggu sekali.
Sulaiman Akif menggunakan tiub yang perlu ditukar dua minggu sekali.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia perlu membelanjakan RM500 sebulan untuk membeli tiub untuk masukkan ubat, makanan dan susu khas, lampin pakai buang, kit ujian air kencing untuk kegunaan anaknya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia juga perlu membayar sewa rumah di Taman Alam Perdana, Binjai, Kemaman sebanyak RM500 sebulan di samping menanggung perbelanjaan seorang lagi anaknya, Muhammad Aniq Haikal, 9, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai.

Sepatutnya semalam (Isnin) saya membawa Sulaiman Akif mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu tetapi disebabkan kekangan kewangan saya minta ditangguhkan.

"Jika kewangan mencukupi, pihak Hospital Kemaman akan membuat janji temu baharu di HSNZ," katanya.

Jelasnya, pegawai perubatan yang merawat anaknya memberitahu kos penjagaan setahun anak keduanya itu dianggarkan RM8,000.

"Jika dalam tempoh dua tahun penyakitnya tidak sembuh, mungkin penyakit dialami anak saya akan kekal dan agak sukar untuk dia pulih seperti sedia kala," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Rohidayah di talian 01121956331.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!