Rasuah bermula dari rumah
PUTRAJAYA - Penglibatan individu dan ahli keluarganya dalam rasuah dilihat semakin meningkat ekoran terjebak dengan perbuatan korupsi yang bermula di rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, bibit-bibit rasuah berlaku apabila ibu bapa memberi ganjaran terhadap tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan anak-anak.
“Sampai bila nak anak kemas katil, kita kena bagi hadiah, baca buku bagi hadiah, jadi apa yang akan berlaku apabila tanggungjawab sudah menjadi sesuatu yang perlu dibayar.
“Adakah nanti tanggungjawab itu sekiranya tidak dilakukan, tiada bayaran, tidak ada orang buat. Selepas itu jika tiada bayaran, mereka tak akan buat walaupun ia adalah tanggungjawab,” katanya pada program Melayu Bermaruah vs Melayu Rasuah anjuran Aktivis Sejahtera pada Selasa.
Turut diundang menjadi panelis adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan manakala Pengerusi Aktivis Sejahtera, Asmaalif Adam bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu Nurhayati berkata, terdapat empat faktor yang memungkin seseorang itu terjebak dengan rasuah iaitu kebolehan, peluang, rasional dan tekanan.
“Penting untuk melihat empat perkara penyebab rasuah dan bagaimana sistem ketahanan diri kita untuk melawan perkara tersebut.
“Kebolehan melakukan rasuah, peluang (contoh) wanita masa kini yang dilihat meningkat terlibat (rasuah) kerana mereka turut terjebak, ramai yang memilih rasional ketika lakukan rasuah dan terakhir adalah tekanan (contoh) di universiti, kampung dan sebagainya yang sengaja diwujudkan untuk harapkan pertolongan, itu adalah untuk difikirkan bersama-sama,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!