Golongan peniaga kembali bangkit
Bantuan GKP oleh kerajaan beri peluang PKS teruskan perniagaan
Kerajaan melalui Bajet 2022 komited menyokong sektor perniagaan dengan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan formal, terutama perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
Melalui Kementerian Kewangan (MOF), pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (atau SemarakNiaga).
Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) bernilai RM6.08 bilion disalurkan kepada golongan peniaga PMKS sejak Covid-19 melanda negara.
Rata-rata penerima terdiri daripada usahawan dan peniaga kecil bersyukur kerana bantuan itu dapat membantu mereka kembali meneruskan perniagaan yang terkesan.
REAKSI
“Walaupun perniagaan agak perlahan ketika ini, saya bersyukur kerana dapat bantuan GKP bernilai RM3,000. Saya juga penerima bantuan khas Skim Mikro Kredit PEMERKASA Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM2,000 dan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) RM500 secara one off.” - Peniaga gerai, Zulaini Sidek
“Saya ambil tempahan baju kurung dan cenderamata kraf secara kecil-kecilan di rumah. Sejak pandemik Covid-19, tempahan berkurangan tapi mujur ada bantuan GKP, dapatlah saya gunakannya sebagai modal untuk mulakan balik perniagaan.” - Pemilik Shidahshiela Handmade, Norsidah Jonit
“Alhamdulillah dengan bantuan GKP sebanyak RM3,000 saya dapat meneruskan perniagaan serbuk lada hitam dari Sarawak menerusi jenama Sarawak White Paper. Perniagaan saya terhenti semasa Perintah Kawalan Pergerakan, saya juga kehilangan pekerja.” - Usahawan PKS, Muhamad Haikal Dakan
“Bantuan GKP sebanyak RM3,000 saya buat modal beli kain untuk jadikan pelitup muka. Sejak pelitup muka Qhaina La Enterprise viral, kami tak menang tangan untuk siapkan tempahan. Kami beroperasi di Masjid Azzubair Ibnul al Awwam, Cheras.” - Tukang jahit, Fazliana Shirat
“Bantuan GKP sedikit sebanyak membantu syarikat membayar gaji staf, sewa kedai dan buat modal pusingan. Syarikat kami masih boleh terus bernafas melalui perniagaan kuih sejuk beku sejak sembilan tahun lalu.” - Pengurus ATZ Maju Enterprise, Tarmidi Md Nor
“Wang GKP saya gunakan untuk mengiklankan perniagaan ketupat palas, tempahan makanan seperti nasi ayam roasted, nasi lemak pandan dan kuih-muih yang diusahakan menerusi media sosial. “ - Pemilik Catering Daniel Samm Corner/Port Santap Ketupat, Aisyah Awang
“Sepanjang PKP selama empat bulan, saya terpaksa menjual cendol sawit secara dalam talian yang dihantar oleh penghantar makanan dari rumah ke rumah. Bantuan GKP yang saya dapat, digunakan untuk membeli peralatan komputer.” - Penjual Cendol Sawit, Rozilawati Ismail
“Terima kasih kerajaan kerana membantu meringankan beban pengusaha serunding kecil-kecilan seperti saya. Dengan dana GKP RM3,000 itu dijadikan modal pusingan untuk mengekalkan edaran dan permintaan sepanjang pandemik Covid-19.” - Pemilik Serunding Mak Cik Kiah, Zainatul Rokaishah Zainan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!