400 laman sesawang pedofilia, pornografi kanak-kanak disekat

Siti Zailah. - Foto Bernama
Siti Zailah. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) setakat Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan itu hasil kerjasama kementerian berkenaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM.

"Kementerian bekerjasama untuk mengukuhkan dan memperkasakan (penguatkuasaan) iaitu dengan kerjasama rapat PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) terutama berkaitan dengan siber," katanya pada sesi soal jawab pada Rabu.



Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung usaha kementerian bagi mengatasi masalah eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya disebabkan lambakan pelbagai aplikasi tidak bermoral dalam talian.

Siti Zailah berkata, kementerian mengambil pendekatan melaksanakan program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat yang melibatkan kanak-kanak seluruh negara serta memperkasakan peranan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) untuk mempromosi dan menyampaikan maklumat berkaitan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak kepada komuniti setempat.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, katanya, kementerian juga telah bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan aktivitis sosial untuk membangunkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber (PTCOP). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!