Video tular dakwa projek PSR 'disumpah' mengelirukan: JAS
PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyifatkan dakwaan seorang individu dalam video yang tular berkaitan dengan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) adalah tidak tepat dan mengelirukan orang awam.
Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dikatakan sukar diluluskan telah pun diluluskan pada 2019, manakala Laporan EIA yang baharu pula sedang dalam penilaian JAS serta agensi teknikal yang lain.
Jelasnya, PSR telah mendapat kelulusan Laporan EIA daripada JAS pada 2019, namun mendapat bantahan daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang yang membawa kepada perbicaraan di Lembaga Rayuan di bawah Seksyen 35 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Keputusan Lembaga Rayuan telah mengetepikan kelulusan EIA tersebut kerana bercanggah dengan Seksyen 34A(4), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang berkaitan dengan pengezonan pembangunan yang belum diluluskan oleh pihak berkuasa Negeri Pulau Pinang ketika itu," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular rakaman video yang memaparkan seorang individu mendakwa PSR menghadapi masalah kelulusan EIA berbanding dengan projek di negeri lain seperti di Johor, Melaka, Sabah dan Kedah yang melaksanakan projek tanpa kelulusan Laporan EIA dan juga tanpa dinyatakan dalam Rancangan Struktur.
Mengula lanjut perkara itu, Wan Abdul Latiff berkata, prosedur penilaian bagi semua EIA digariskan di dalam Garis Panduan Penilaian Impak Alam Sekitar di Malaysia (EGIM) menepati pemakaian prosedur dalaman yang telah dipersijilkan di bawah MS ISO 9001:2015.
"Kelulusan EIA oleh JAS merupakan satu kelulusan terhadap laporan kajian yang dilaksanakan oleh juru runding EIA berhubung dengan potensi impak yang mungkin berlaku sekiranya pembangunan tersebut dilaksanakan dan memperincikan langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan impak kepada alam sekeliling," katanya.
Wan Abdul Latiff berkata, penilaian laporan EIA projek tersebut dibuat di dalam Jawatankuasa Teknikal Penilaian EIA yang dianggotai oleh agensi lain seperti PLANMalaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, individu yang dilantik dengan kepakaran tertentu serta pihak badan bukan kerajaan.
"Bagi EIA di bawah Jadual Kedua, pameran awam dan ulasan awam dilaksanakan bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk mengemukakan ulasan berkaitan kandungan laporan EIA tersebut sama ada dari segi polisi, perundangan dan isu teknikal berkaitan dengan projek bukan sebagai platform bantahan kepada projek.
"Keperluan memenuhi Seksyen 34A(3), AKAS 1974 dan supaya tidak bercanggah dengan Seksyen 34A (4)(a) dan (b), akta yang sama diberi perhatian serius terhadap penilaian laporan EIA," katanya.
Tambah Wan Abdul Latiff, keputusan akhir bagi kelulusan projek pembangunan itu adalah di bawah pihak berkuasa yang meluluskan projek iaitu kerajaan negeri Pulau Pinang.
Isnin lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan negeri itu tetap dengan pendiriannya iaitu hanya akan melaksanakan PSR selepas memperoleh EIA daripada JAS.
Katanya, perkara itu sering kali diulang kerajaan negeri bahawa projek tersebut hanya akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berikutan ia merupakan projek mega yang melibatkan banyak perkara, terutamanya alam sekitar serta penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!