Conte hampa penyudah tumpul
TOTTENHAM Hotspur harus menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan peluang untuk meraih kemenangan apabila terikat tanpa jaringan dengan Frankfurt di tempat lawan dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu.
Pengendali Spurs, Antonio Conte nyata kecewa dengan penyudah tumpul jentera serangan dalam usaha mereka untuk membawa pulang tiga mata berharga.
Pasangan penyerang Spurs, Harry Kane dan Son Hueng-min yang meledak 40 gol pada musim Liga Perdana Inggeris 2021-2022, gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik.
Ketumpulan mereka merobek gawang dilihat seringkali menerima kecaman penyokong tuan rumah.
Ketika Conte memuji prestasi barisan pemainnya beraksi di depan penyokong Frankfurt, beliau tetap kecewa apabila mereka mensia-siakan beberapa peluang terbaik.
“Kami perlu lebih klinikal. Bola sepak adalah mudah, untuk menang, anda perlu menjaringkan gol.
“Kami memerlukan masa untuk membina, melangkah setapak demi setapak, memperbaiki dan menjadi lebih kuat sebagai sebuah skuad,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus Frankfurt, Oliver Glasner memuji aksi bertaraf dunia penjaga golnya, Kevin Trapp dan tetap berpuas hati meraih satu mata selepas mengharungi minggu sukar di Bundesliga apabila tewas 0-2 kepada Union Berlin.
“Tottenham pasukan pilihan (dalam kumpulan). Aksi ini mungkin salah satu yang terbaik di Eropah.
“Adalah penting untuk mengawal lawan dan memanfaatkan beberapa ruang yang diberikan oleh skuad bimbingan Antonio,” ujar Glasner.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!